Afrika Selatan kemuka tuntutan baharu kepada ICJ
THE HAGUE - Afrika Selatan sekali lagi tampil di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mengemukakan tuntutan baharu di bawah kes genosid yang difailkan terhadap Israel pada akhir tahun lalu.
Menerusi prosiding pada Khamis, pasukan peguam mewakili Pretoria menyerahkan permohonan bertulis kepada panel hakim tribunal tersebut supaya mengeluarkan perintah kecemasan bagi menghentikan ofensif ganas ke atas bandar Rafah dan seluruh Gaza.
Profesor Vaughan Lowe KC memberitahu ICJ, kempen bertujuan untuk melenyapkan sudut terakhir di Gaza itu akan memusnahkan 'asas kehidupan Palestin' di wilayah terkepung berkenaan.
Sementara itu, peguam Tembeka Ngcukaitobi berkata, penduduk Palestin sedang berdepan kemusnahan berterusan dan kempen pencerobohan di Rafah adalah sebahagian daripada 'endgame' untuk menghapuskan Gaza sama sekali.
“Israel tetap meneruskan operasi ketenteraan tersebut meskipun berdepan amaran jelas tentang kesan genosid disebabkan kempen berkenaan,” tegasnya.
Di bawah permohonan terbaharu itu, Afrika Selatan turut menuntut akses kepada wartawan dan penyiasat antarabangsa ke Gaza untuk mengumpulkan bukti bagi menyokong dakwaan jenayah perang dilakukan rejim Zionis setelah ia mendakwa Tel Aviv melanggar Konvensyen Genosid 1948.
“Ia sukar dibuktikan kerana Israel berterusan menyekat golongan itu. Lebih 100 petugas media terkorban di enklaf tersebut sejak perang ganas itu tercetus lebih tujuh bulan lalu,” kata Lowe lagi.
Menerusi jawapan balas, Kementerian Luar Tel Aviv menuduh Pretoria mengemukakan dakwaan yang berat sebelah dan hanya bergantung kepada sumber Hamas sedangkan terdapat bukti jelas kekejaman mereka yang tidak lagi boleh disangkal mana-mana pihak.
Ia dengan yakin menyatakan Israel kononnya bertindak mengikut undang-undang antarabangsa dan kewajipan kemanusiaan serta melaksanakan langkah untuk meminimumkan kematian dan kemudahan orang awam.
Tuduhan Israel melakukan genosid di Gaza merupakan kes utama dikemukakan Afrika Selatan dan panel hakim dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai keputusan akhir setelah tribunal tersebut dikritik kerana gagal mengarahkan perlaksanaan gencatan senjata bagi meredakan perang ganas itu pada awal tahun lalu.
Rejim Zionis berulang kali menyatakan operasi yang telah meragut lebih 35,000 nyawa penduduk Gaza itu kononnya sebagai tindakan mempertahankan diri daripada tindak balas pejuang Hamas.
Fasa baharu perang di Gaza turut menerima bantahan keras Amerika Syarikat (AS), selaku sekutu kuat Israel selepas Washington yang berdepan tekanan komuniti antarabangsa tidak melihat pelan jelas untuk melindungi orang awam. - Agensi
Info:
>Pada Januari lalu, ICJ hanya mengarahkan Israel supaya mengambil langkah yang dapat mengelakkan sebarang tindakan membawa kepada genosid ke atas penduduk Palestin. Di bawah perintah sementara itu, ia langsung tidak menyebut tentang gencatan senjata di Gaza.
>Ketika prosiding pada Mac lalu, panel hakim memutuskan di bawah langkah sementara baharu mengarahkan Tel Aviv membenarkan akses kepada bantuan bekalan makanan ke Gaza yang berada di ambang kebuluran pada masa tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!