Ibu makin 'mengganas'

Ibu terus memuntahkan debu tebal ke permukaan udara sejak Rabu lalu. - Foto: AFP
Ibu terus memuntahkan debu tebal ke permukaan udara sejak Rabu lalu. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Ratusan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan gunung berapi timur Indonesia telah dipindahkan sehari selepas pihak berkuasa menaikkan status amaran ke tahap tertinggi, menurut media tempatan pada Jumaat.

Langkah berjaga-jaga itu dibuat setelah Gunung Ibu yang terletak di Pulau Halmahera merekodkan dua letusan besar selama dua hari berturut-turut.

Pemindahan segera itu dilakukan ke atas komuniti di tujuh perkampungan di zon lingkungan tujuh kilometer berhampiran Ibu yang telah memuntahkan debu tebal setinggi 5,000 meter (m) ke permukaan udara.

“Proses itu masih giat dijalankan. Data awal menunjukkan kira-kira 400 penduduk sudah ditempatkan di beberapa pusat penempatan sementara,” ujar jurucakap agensi mitigasi bencana, Muhammad Ade Fabanyo.

Ibu dilaporkan meletus lagi pada pagi Jumaat dan membebaskan asap tebal setinggi 4,000m ke udara.

Susulan peningkatan aktiviti vulkanik, pihak berkuasa turut menasihatkan penduduk sekitar dan pelancong supaya tidak berada dalam zon lingkungan empat hingga tujuh kilometer serta memakai pelitup muka untuk mengelakkan debu yang berterbangan.

“Berdasarkan pemantauan visual dan instrumental secara berterusan mendapati ancaman Ibu kekal tinggi. Tahap amaran telah dinaikkan dari tiga kepada empat,” menurut Ketua agensi geologi, Muhammad Wafid. - AFP

Info

Artikel Berkaitan:

>Gunung berapi Ibu telah menunjukkan peningkatan aktiviti vulkanik secara ketara sejak pertengahan April lalu. Siri gempa bumi telah meningkatkan tekanan dan menolak magma ke permukaan.

>Ia merupakan salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia. Lebih 21,000 letusan direkodkan pada tahun lalu.

>Data rasmi pada 2022 menunjukkan lebih 70,000 penduduk tinggal di Pulau Halmahera.

>Pada bulan lalu, Gunung Berapi Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih enam kali dan memaksa pemindahan ribuan penduduk berhampiran. Status amarannya bagaimanapun telah diturunkan kepada tahap kedua tertinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!