Penganggur rogol remaja 15 tahun, dipenjara lima tahun, dua sebatan
KUALA LUMPUR – Tindakan kejam seorang penganggur merogol dan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja 15 tahun yang baru dikenalinya menerusi aplikasi Instagram (IG), mengundang padah apabila dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.
Pemuda berusia 21 tahun berkenaan, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan, di hadapan Hakim, Mohd Kafli Che Ali.
Bagi pertuduhan merogol, lelaki itu dihukum penjara lima tahun sementara amang seksual fizikal (empat tahun) dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap, iaitu 20 November 2023.
Mahkamah memerintahkan dia dikenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Dia juga perlu menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan dikenakan pengawasan polis selama setahun, selepas menjalani hukuman penjara.
Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tempat letak kereta di Projek Perumahan Pakyat (PPR) di Sungai Besi di sini, pada jam 4 petang, 19 November 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan bagi tuduhan merogol sementara Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi kesalahan amang seksual fizikal.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian itu, tertuduh dan mangsa yang tinggal berdekatan, telah berkenalan menerusi IG.
Dia kemudiannya mengajak remaja tersebut bertemu di lokasi kejadian, sebelum melakukan kesalahan terbabit.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga neneknya yang terpaksa menjadi gelandangan dan tidur di tangga selepas rumah yang mereka diami ditarik balik oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Adik perempuan saya yang berusia 16 tahun, telah ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bapa baru keluar dari penjara, ibu pula sudah lama meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Alias memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!