Terbuka Thailand: Zii Jia mara ke separuh akhir
JAGUH badminton perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berada di landasan tepat bagi mengejar misi memburu gelaran kedua Terbuka Thailand apabila berjaya melangkah ke separuh akhir di sini hari ini.
Bekas juara All England itu melunaskan dendam dengan menewaskan wakil China, Lu Guang Zu dalam saingan tiga set 21-13, 16-21, 21-18 selama 66 minit pada aksi suku akhir di Stadium Nimibutr di sini.
Kemenangan itu membolehkan Zii Jia, pemain ranking ke-10 dunia, menebus kekecewaan di tangan lawan berkenaan dalam pertemuan akhir mereka di Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Bagaimanapun, juara edisi 2022 itu, berdepan laluan getir untuk melangkah ke pentas final apabila menentang pemenang perlawanan antara naib juara dunia, Kodai Naraoka dari Jepun dengan jaguh Taiwan, Chou Tien Chen pada aksi separuh akhir, esok.
Anak jati Kedah itu ketika ditemui Bernama selepas perlawanan berkata lawannya bermain dengan baik dan dia perlu bersabar terutama pada set ketiga apabila ketinggalan 11-9 dan kemudian terikat 16-16 sebelum menoktahkan kemenangan 21-18.
Katanya beliau perlu besedia dengan cukup baik menentang Kodai atau Tien Chen.
Sementara itu, perseorangan wanita pilihan utama China, Han Yue menepati ramalan apabila menewaskan wakil Indonesia, Komang Ayu Cahya Dewi 21-14, 21-9 dalam masa 31 minit sahaja untuk menempah tempat ke separuh akhir esok.
Han akan berdepan dengan pemain tuan rumah Pornpawee Chochuwong yang mengatasi pemain China Gao Fang Jie 10-21, 21-16, 21-12.
Han, selaku pemain nombor 7 dunia, berkata walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini namun akan memberikan yang terbaik untuk memenanginya memandangkan lawannya memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri.
Dalam pada itu, pilihan ketujuh, Pornpawee berkata beliau berazam mara ke pentas final selepas pulih daripada kecederaan.
"Bermain di final pada kejohanan di tempat sendiri adalah satu penghormatan,”katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!