Lima tentera Israel maut ditembak kereta kebal pasukan sendiri
BAITULMAQDIS - Pasukan Tentera Israel (IDF) mendedahkan seramai lima anggotanya yang berusia antara 20 dan 22 tahun dilaporkan maut selepas secara tidak sengaja ditembak dengan kereta kebal dari pasukan sendiri di utara Gaza.
Siasatan awal mendapati dua kereta kebal melepaskan tembakan ke arah bangunan di kem pelarian Jabalia yang menjadi pusat tentera Israel sedang berkumpul.
"Kereta kebal dari pasukan payung terjun ultra-Orthodox dikenali sebagai 'Hatz' telah mengenal pasti laras senjata yang keluar dari tingkap bangunan dan bergegas melepaskan tembakan ke arah sasaran.
"Ini adalah insiden yang sukar kerana berada persekitaran tugas yang sangat kompleks dan kawasan sesak.
"Kami sedang menyiasat kes ini dan belajar daripada pengalaman serta menjaga keselamatan pasukan kami,"kata jurucakap IDF, Daniel Hagari.
Insiden berlaku ketika Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, lebih ramai tenteranya akan memasuki Gaza.
Dalam kejadian sama, sekurang-kurangnya 16 tentera IDF cedera termasuk tiga anggota mengalami kecederaan parah.
Jumlah askar dan pegawai Israel yang terkorban dalam peperangan di Gaza meningkat kepada 628 orang, termasuk 290 orang terkorban sejak permulaan operasi darat di Genting Gaza pada 27 Oktober lalu. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!