Jenazah dua anggota polis terkorban akan dikebumikan di kampung halaman
JOHOR BAHRU - Jenazah dua anggota polis yang terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi tadi akan dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi urusan pengebumian setelah selesai urusan solat jenazah di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pagi esok.
Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar akan dikebumikan di Bidor, Perak manakala jenazah Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said akan dikebumikan di Gambang, Pahang.
Dalam insiden sekitar jam 2.30 pagi Jumaat itu, dua anggota polis berkenaan maut akibat ditetak dan ditembak oleh seorang lelaki bertopeng.
Setelah menetak leher dan bahagian belakang kepala Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, lelaki bersenjatakan parang itu turut merampas senjata api daripada anggota polis dan menembak seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said di bahagian bahu dan perut.
Seorang lagi anggota polis Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan serta dirawat di Zon merah sebelum ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalankan rawatan di wad biasa di HSI.
Keluarga kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dari Bidor, Perak dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said (Pahang) dijangka tiba pada bila-bila masa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), bagi tujuan pengecaman jenazah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!