Selepas cerai suami patut keluar rumah, isteri harus kembali bangkit

No Image Caption
A
A
A

SIRI 1

ISTERI diceraikan secara zalim! Mungkin isu tersebut kedengaran agak klise, namun hakikatnya bercerai tanpa melalui prosedur yang betul akan memberi impak kepada kedua-dua belah pihak.

Jika sebelum ini para isteri sering dizalimi dari segi penderaan fizikal dan emosi ataupun digantung tidak bertali, tetapi pada zaman modenisasi lain pula ceritanya.

Ia berikutan sebahagian besar golongan suami lebih cenderung menceraikan isteri menerusi kiriman aplikasi WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau telefon. Paling sadis, apabila melafazkan cerai terhadap isteri yang sedang sarat mengandung sama seperti yang dialami oleh Siti Mohd Azmi (bukan nama sebenar).

Siti menyifatkan firasat seorang isteri tidak pernah silap. Hati kecilnya kuat membisikkan bahawa suaminya sedang menjalin hubungan asmara bersama wanita lain.

Masakan tidak, perlakuan suami nampak ganjil. Saban waktu, tangan tidak lekang dengan telefon pintar. Kadangkala tersenyum simpul sambil jari-jemari menaip di papan kekunci gajet Androidnya. Jika sebelum ini sebaik tamat waktu pejabat, ketua keluarga itu sudah berada di rumah, tetapi kini sebaliknya.

Apabila ditanya kekerapan pulang lewat, Siti yang hamil tujuh bulan pula dimarahinya sehingga si suami sudah tegar menampar pipinya. Konflik rumah tangga mereka semakin kronik. Pelbagai solusi telah dilakukan, namun semuanya tidak menunjukkan kesan yang positif.

Siti enggan berputus asa. Beliau sedaya upaya menyelamatkan rumah tangga yang dibina hampir enam tahun lamanya. Namun benarlah, manusia hanya merancang, ALLAH menentukan segalanya.

Artikel Berkaitan:

Hati wanita kelahiran Negeri Sembilan berkenaan retak seribu selepas suaminya melafazkan cerai menerusi kiriman aplikasi WhatsApp dengan alasan sudah menemui cinta baharu. Siti menjadi tidak keruan, air matanya tidak berhenti bercucuran, emosinya bergolak, imannya menjadi rapuh dan terus tertanya-tanya apa kurang dirinya sebagai seorang isteri.

Melihat situasi berat yang ditanggungnya itu, persoalannya, wajarkah seorang isteri khususnya yang sedang sarat mengandung diceraikan suami tanpa mengikut saluran yang betul? Adakah impak perceraian itu akan menjejaskan anak dalam kandungan? Bagaimana wanita perlu bangkit keluar daripada kepompong kemurungan?

APABILA suami bertindak menceraikan isteri yang sedang hamil ia bukan sahaja menjejaskan emosi wanita, bahkan bayi di dalam kandungan juga terkena tempias.
APABILA suami bertindak menceraikan isteri yang sedang hamil ia bukan sahaja menjejaskan emosi wanita, bahkan bayi di dalam kandungan juga terkena tempias.

Menerusi program Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 1, isu tersebut dibincangkan menerusi tajuk Apabila Isteri Diceraikan Secara Zalim.

Personaliti Iesya Toh yang bertindak sebagai moderator menemu bual tiga panel berbeza bidang. Mereka ialah Peguam Bela, Peguam Cara dan Peguam Syarie daripada Tetuan Atiqah Syafiqah & Associates, Syafiqah Abdul Razak; Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood dan Pakar Psikologi dan Wanita, Elle Filani.

Dari aspek perundangan, Syafiqah menegaskan wanita yang diceraikan di luar mahkamah sama ada menerusi kiriman aplikasi WhatsApp, khidmat pesanan ringkas atau telefon, mereka harus segera mendapatkan nasihat di mahkamah syariah.

SYAFIQAH
SYAFIQAH

Katanya, langkah berkenaan adalah untuk memudahkan pihak hakim mahkamah menentukan talak yang dijatuhkan terbabit sah ataupun tidak.

Secara ringkasnya, lafaz talak di luar mahkamah terbahagi kepada dua kategori iaitu lafaz sarih dan lafaz kinayah (tidak jelas).

"Bagi talak sarih, ia diungkapkan secara jelas dengan menggunakan perkataan cerai atau talak, misalnya, suami melafazkan 'Saya cerai awak talak satu'.

"Sementara itu, talak kinayah pula merujuk lafaz cerai yang kurang jelas maksudnya seperti 'Kita tidak ada apa-apa hubungan.' Justeru, wanita yang kurang jelas dengan ungkapan ayat cerai yang dilafazkan suami, jangan membuat andaian sendiri.

"Sebaik-baiknya pergi mendapatkan panduan daripada hakim di mahkamah syariah," katanya yang turut memberitahu bercerai di luar mahkamah merupakan satu kesalahan yang mana suami boleh dikenakan denda.

Jelas beliau lagi, setiap proses perceraian perlu dimohon di mahkamah syariah bukannya dilafazkan dengan sewenang-wenangnya sehingga menimbulkan masalah kepada kedua-dua belah pihak.

Apa tindakan susulan yang harus dilakukan wanita selepas diceraikan? Jawab Syafiqah, kaum Hawa berhak menuntut terutamanya nafkah idah seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian.

"Ingin saya tegaskan di sini bahawa selepas bercerai seharusnya suami yang perlu meninggalkan rumah bukannya isteri.

"Sebahagian besar kes yang saya kendalikan, para isteri pula yang bertindak keluar (kediaman). Walhal, sepanjang tempoh idah, lelaki yang bertanggungjawab menyediakan segala kelengkapan berkenaan (rumah, makanan dan pakaian)," ujar beliau memberi pencerahan.

Selesai proses perceraian, peguam itu berkata, wanita juga berhak menuntut antaranya nafkah mutaah (sagu hati selepas perceraian) yang merujuk kepada pengorbanan ketika bergelar isteri mengikut kemampuan bekas suami.

"Pada masa sama, isteri yang sebelum ini sering membayar kos perbelanjaan makanan, pakaian, sewa rumah ataupun utiliti sepanjang tempoh perkahwinan juga berpeluang menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suami," terang beliau lagi.

Tetapkan visi masa depan

Berbicara dari segi psikologi, Elle pula ada pandangannya tersendiri.

ELLE
ELLE

"Seboleh-bolehnya, para suami mempunyai sifat perikemanusiaan dengan tidak menceraikan isteri yang sedang hamil. Mengapa?

"Ini disebabkan ketika mengandung emosi dan perasaan wanita berada pada fasa yang tidak stabil. Apabila menerima tekanan diceraikan secara zalim, implikasinya bukan sahaja mengganggu kesihatan ibu, bahkan turut menjejaskan bayi di dalam kandungan," tegas beliau.

Sehubungan itu, enggan membiarkan golongan isteri yang ditindas terus-menerus meratapi penganiayaan yang dialami terlalu lama, Elle menyeru agar wanita segera bangkit dan tuntas keluar daripada kepompong kemurungan.

Tetapkan visi baharu dengan fokus kepada kehidupan yang akan datang dan kembali menyayangi diri sendiri, sarannya.

"Ayuh, serlahkan kecantikan peribadi. Pasang badan persis zaman muda-mudi. Usah bimbang pada persepsi individu sekeliling kerana penampilan yang menawan dan kemas menyuntik aura positif.

"Selain itu, tolonglah berhenti ambil pusing perihal bekas suami. Jangan stalk (mengintai) laman media sosialnya kerana aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kondisi mental dan emosi wanita itu sendiri," ulasnya.

Dalam pada itu, Elle turut menasihatkan golongan Hawa agar segera membuang segala memori yang dinikmati bersama pasangan.

"Buat apa berterusan menyakiti hati sendiri. Biarkan mantan suami bahagia dengan hidup baharunya. Wanita sebaik-baiknya mencari masa melakukan perkara yang menyeronokkan bersama teman," ujar beliau yang tidak henti-henti memberi semangat kepada wanita yang menjadi mangsa perceraian.

DARI KIRI: Syafiqah, Iesya, Elle dan Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood pada program Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 1 yang membincangkan tajuk Apabila Isteri Diceraikan Secara Zalim di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.
DARI KIRI: Syafiqah, Iesya, Elle dan Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood pada program Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 1 yang membincangkan tajuk Apabila Isteri Diceraikan Secara Zalim di Dewan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

ANEKDOT

- Borak Bibir Merah Sinar Harian merupakan rancangan bual bicara kendalian akhbar Sinar Harian.

- Pengisian program tersebut adalah membincangkan isu-isu berkaitan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

- Video lanjut Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 1: Apabila Isteri Diceraikan Secara Zalim sila klik: Borak Bibir Merah Siri 1

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!