Umat Islam dunia perlu bersatu bangunkan teknologi senjata tentang Israel

Tun Mahathir
Tun Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Keganasan Israel tidak dapat ditentang kerana kelemahan umat Islam bersatu dan membangunkan teknologi senjata.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, al-Quran menyuruh orang Islam membuat persediaan untuk melindungi keselamatan ummah Islamiyah.

“Untuk ini negara Islam dan orang Islam perlu memiliki ilmu senjata moden dan pasukan tentera yang boleh menangkis serangan musuh.

“Tetapi mereka tidak dapat mengeluarkan senjata sendiri. Ramai orang Islam yang berpendapat sunnah Nabi ini ialah berkenaan dengan pemilikan senjata zaman Nabi.

“Sebenarnya sunnah Nabi ialah keupayaan menyelamat umat Islam. Senjata zaman Nabi tidak mampu menyelamatkan di zaman ini.

“Senjata yang sesuai di zaman ini ialah machine gun, roket, meriam, kereta kebal, pesawat pejuang, kapal perang dan lain-lain. Orang Islam tidak dapat cipta dan mengeluar senjata ini kerana tidak memiliki ilmu dan kepakaran yang diperlukan,” katanya menerusi X pada Jumaat.

Dr Mahathir berkata, orang Islam dahulu meguasai ilmu sains dan matematik berbeza dengan sekarang kerana ada yang beranggapan ilmu-ilmu ini tidak memberi pahala untuk akhirat dan dengan itu keupayaan mereka mencipta dan mengeluar senjata terhakis.

“Jika orang Islam berhajat untuk tunaikan kewajipan mereka untuk melindungi dan menyelamat umat Islam, penguasaan ilmu sains dan matematik hendaklah dituntut.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, jika orang timur boleh kuasai ilmu-ilmu ini dan mereka mampu mencipta dan mengeluar alat-alat pertahanan ini, tidak ada sebab kenapa orang Islam tidak boleh.

Tindakan menuntut ilmu dan membangun keupayaan mencipta dan mengeluar senjata moden hendaklah diusahakan oleh negara-negara Islam dan orang Islam,” ujarnya,

Dr Mahathir dalam pada itu turut mengkritik sikap sesetengah negara Islam yang tidak bersatu untuk membela dan melindungi Palestin.

“Seluruh dunia melihat keganasan Israel dan dengan angkuh Israel meneruskan keganasan, membunuh juga ratusan orang Palestin di Tebing Barat.

"Sekarang Lubnan juga diserang. Tidak ada sesiapa yang bertindak dan menolong. Tidak ada sesiapa yang cuba beri perlindungan.

“Biasanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan hantar pasukan pengaman. Tetapi sejak serangan oleh Israel, tidak ada pasukan pengaman dihantar oleh PBB,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!