'Keberanian, pengorbanan Muhamad Syafiq kekal dalam ingatan keluarga'

Ahmad Said menunjukkan gambar Shafiq ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat
Ahmad Said menunjukkan gambar Shafiq ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat
A
A
A

KUANTAN - Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan ahli keluarga Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said selain rasa bangga apabila anak mereka memilih untuk menjadi wira dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada awal pagi Jumaat.

Ahmad Said Mad Piah, 65, berkata, meskipun kejadian menimpa anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu sangat memilukan, namun mereka reda pemergian Muhamad Syafiq atau lebih mesra disapa Syafiq itu adalah demi tugasnya untuk negara.

Menurutnya, kehilangan ini dirasakan sangat mendalam, namun semangat keberanian dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Syafiq itulah yang akan kekal dalam ingatan keluarga.

"Kami redalah (apa yang berlaku). Hendak buat macam mana sudah sampai masa, kena terima lah memang benda kenyataan.

"Dan (kami) memang bangga sebab (dia terkorban ketika) dalam bertugas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya, Gambang pada Jumaat.

Berkongsi kisah, Ahmad Said berkata, arwah sangat meminati kerjaya beruniform sejak dari sekolah dengan menyertai kadet polis.

Ujarnya, anaknya sempat menghabiskan dua semester dalam jurusan forensik di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur sebelum menerima tawaran untuk mengikuti latihan polis.

Ditanya ketika menerima berita kematian Syafiq, Ahmad Said memberitahu tidak mempercayai panggilan yang diterima dan mengangap ia adalah scammer apabila dimaklumkan bahawa anaknya meninggal dunia akibat kena tembak oleh penyenayah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, namun mereka sekeluarga menerima kenyataan setelah mendapat pengesahan dari salah sorang anaknya yang berada di Kuala Lumpur.

"Saya tidak percaya dan macam mimpi pun ada, betul ke apa yang dimaklumkan ketika berada di kebun pada jam 8 pagi (jumaat) tadi.

"Apabila pulang ke rumah dan memaklumkan kepada isteri ( Aini Mohd Sharif, 57), dia sedih sebelum menghubungi anak yang berada di Kuala Lumpur yang kemudiannya mengesahkan kematian Muhamad Syafiq," katanya lagi.

Ahmad Said berkata, kali terakhir bertemu Syafiq pada Mac lalu iaitu sebelum Ramadan kerana Allahyarham pulang bercuti selama seminggu.

"Arwah memaklumkan akan pulang pada Julai atau Ogos depan, selepas tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri kerana bertugas," ujarnya.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera dikenali Koperal Mohd Hasif Roslan.

Jenazah Muhamad Syafiq dijangka dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Jaya Gadih pada esok setelah dibawa pulang dari Johor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!