Kemaraan dua beregu lelaki negara tersekat di suku akhir
CABARAN Malaysia dalam acara beregu lelaki Terbuka Thailand Super 500 berakhir di suku akhir selepas kedua-dua pasangan tunduk kepada lawan masing-masing di Stadium Nimibutr, Bangkok pada Jumaat.
Pasangan kidal Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turun menentang Ming Che Lu-Tang Kai Wei dari Taiwan, tewas 18-21, 21-15, 18-21 dalam pertarungan 66 minit yang mendebarkan.
Ketika ditemui selepas tamat perlawanan, Muhammad Haikal yang kelihatan kecewa berkata mereka terlalu mengikut rentak lawan, sehingga gagal memberi tumpuan kepada pelan permainan sebenar.
“Walaupun mendahului sepanjang set penentuan, kami tergesa-gesa untuk menamatkan permainan dengan pantas, yang menyebabkan permainan kami terjejas.
"Biarpun begitu kami akan belajar daripada kesilapan dalam perlawanan ini dan bangkit semula pada kejohanan seterusnya,” katanya.
Kemudian, satu lagi beregu lelaki negara Junaidi Arif-Yap Roy King dikalahkan pilihan utama Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India dalam straight set 21-7 dan 21-14 dalam masa 38 minit sahaja.
Roy King berkata ini adalah kali pertama bertemu dengan beregu lelaki lima teratas dunia mendapat pengajaran berharga hari ini.
“Kami tidak dapat menandingi kepantasan dan aksi serangan mereka di gelanggang hari ini. Tetapi kami akan mengambilnya sebagai pengajaran penting yang akan memberi manfaat kepada kami pada masa hadapan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!