Bapa reda pemergian Ahmad Azza Fahmi
JOHOR BAHRU - Bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, Azhar Khaiden, 54, reda dengan pemergian anaknya dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, pada awal pagi Jumaat.
Menurut Azhar, dia juga berserah kepada pengadilan daripada ALLAH SWT, terhadap perkara yang berlaku.
Malah guru subjek Matematik dan Sejarah di SK Felda Sungai Klah, Sungai Perak itu berkata, sekiranya individu yang melakukan serangan itu masih hidup, tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dilakukannya kerana ia bukannya satu jalan penyelesaian terhadap apa yang telah terjadi.
"Kita hanya berserah kepada Yang Maha Maha Esa dengan pengadilanNya di sana.
"Yang pergi tetap pergi, takkan kembali. Pihak berkuasa dan undang-undang ada dan juga 'di sana'... itu sahaja," katanya.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi Jumaat, Ahmad Azza Fahmi terkorban dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram akibat ditetak oleh seorang lelaki bertopeng.
Kejadian serangan itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said turut terkorban akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama.
Manakala, Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan serta dirawat di Zon merah sebelum ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalankan rawatan di wad biasa di HSI.
Sementara itu, lelaki yang melakukan serangan tersebut pula telah ditembak mati.
Azhar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu adalah pada bulan puasa lalu di mana anaknya sempat berpuasa selama dua minggu di rumah.
Katanya, tiada apa-apa perubahan yang ditunjukkan anaknya itu selama berada di kampung, malah sehingga malam kejadian mereka masih berbalas pesanan menerusi grup whatsApp keluarga.
"Bagi saya, dia memang anak yang baik dan dah dua tahun kerja sejak tamat latihan di Langkawi.. abang dia juga polis di Sabah dan adik perempuannya pula ada temuduga polis Isnin nanti.
"Apa pun, saya reda kerana ada ayat al-Quran yang bermaksud apabila tiba ajal tak lewat atau cepat walau sesaat.
"Tak guna kita menangis air mata darah sekali pun.. kita semua akan pergi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!