7,778 penyokong Kelantan banjiri Stadium Sultan Muhammad IV
STADIUM Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kembali dipenuhi dengan pakaian merah apabila aksi Liga Super antara Kelantan Darul Naim (KDN FC) melawan Sabah FC dibanjiri oleh 7,778 penyokong.
Tinjauan Sinar Harian mendapati penyokong mula beratur untuk memasuki stadium seawal jam 7.30 malam.
Kebanjiran penyokong itu dibantu oleh penjualan tiket rendah pada harga RM10 untuk tempat duduk terbuka.
Seorang penyokong, Mursyid Suhaimi, 24, dari Melor berkata, harga tiket murah banyak mempengaruhi kedatangan peminat pada malam ini.
"Saya harap lebih banyak diskaun dapat diberikan kepada penyokong selepas ini," katanya.
Menurut dia, hal ini kerana bola sepak sukan yang boleh menyatukan seluruh penduduk.
Bagi Rafiq Zulkifli, 26, dari Kadok berkata, malam ini dia bersama enam rakannya hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada KDN FC.
Ujarnya, dia berharap KDN FC mampu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan KDN FC melakukan kejutan apabila menjual tiket untuk tempat duduk terbuka RM10 pada aksi Liga Super 2024/25 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Presidennya, Rozi Muhamad berkata, harga asal tiket untuk tempat duduk terbuka ialah RM15 sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini.
"Pada perlawanan sulung baru-baru ini, kami lihat ramai penyokong yang bertandang ke arena lawan. Sangat ramai. Ini menunjukkan sokongan padu peminat dan penyokong bola sepak Kelantan kepada KDN FC
"Sebagai tanda penghargaan, terima kasih serta mahu penyokong membanjiri tempat duduk stadium pada pertemuan dengan Sabah FC, kami bersetuju menurunkan harga tiket bagi tempat duduk terbuka," katanya pada Selasa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!