'Rafah di hujung tanduk'
BAITULMAQDIS - Kira-kira 600,000 penduduk Palestin melarikan diri keluar dari Rafah dalam tempoh 10 hari sejak pasukan tentera Israel (IDF) melancarkan serangan serentak menerusi darat, udara dan laut ke bandar yang terletak di selatan Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan penghijrahan beramai-ramai terbaharu dalam konflik Hamas-Israel sejak 7 Oktober lalu sebagai 'perpindahan paksa'.
Ketika ini, penduduk Gaza dilihat menyusuri jalan yang rosak akibat dibom sambil membawa khemah dan apa saja yang masih tinggal di kediaman lama mereka.
Dalam tempoh 48 jam, lebih daripada 150,000 penduduk Palestin melarikan diri dan jumlah itu dijangka terus meningkat selepas Israel melakukan serangan di Rafah yang sebelum ini digelar 'zon selamat' yang didiami 2.2 juta penduduk.
Sejak 6 Mei lalu, Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan ke timur Rafah dan memberitahu penduduk supaya pergi ke utara yang digelar 'zon kemanusiaan'.
Semasa temubual dengan puluhan penduduk Palestin, mereka menyatakan tiada lagi tempat selamat untuk mereka pergi selain Rafah.
"Gaza telah menjadi seperti bandar hantu dan tidak sesuai untuk didiami lagi kecuali Rafah," kata penduduk Gaza, Shireen Abu Qamar.
Shireen melarikan diri bersama keluarganya dari kem pelarian Beit Hanoun semasa kediaman mereka dibom tentera Israel sejak awal konflik bermula.
Mereka telah berpindah sebanyak enam kali sejak semasa perang yang kini berlangsung selama tujuh bulan.
"Perjalanan pemindahan mesti diteruskan," katanya.
Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas melaporkan serangan berterusan Israel di Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan 35,272 orang dan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!