Rasai pengalaman penginapan terapung di rumah rakit
PEKAN - Bagi kaki pancing yang berhasrat membawa keluarga memancing dalam suasana lebih selesa, Rumah Rakit Maraie di Kampung Padang Rumbia mungkin antara pilihan terbaik buat mereka.
Selain penginapan yang selesa dengan harga berpatutan, kaki pancing boleh melabuhkan umpan terus dari balkoni penginapan atau lokasi memancing disediakan.
Kalau bernasib baik, rezeki sungai seperti udang galah, ikan lampan, kerai, baung dan pelbagai spesies lain melekat pada mata pancing.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari Kuantan dan 28 kilometer dari Pekan, Rumah Rakit Maraie bukan hanya untuk kaki pancing, sebaliknya sesuai dan terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu merasai pengalaman menginap di tepi Sungai Pahang.
Selain memancing, pelbagai daya tarikan lain boleh dinikmati pengunjung sepanjang menginap di situ.
Penolong Pengurusnya, Mohammad Firdaus Mohd Rasli, 40, berkata, pihaknya menyediakan pelbagai jenis penginapan sebagai pilihan kepada pengunjung bermula dari chalet darat hingga rumah rakit dua tingkat tiga bilik eksklusif yang dilengkapi kolam renang.
Menurutnya, pengunjung sama ada individu atau kumpulan boleh membuat pilihan bilik penginapan mengikut bajet, kesesuaian dan keselesaan masing-masing.
“Rata-rata pengunjung yang pernah menginap teruja dengan kemudahan penginapan disediakan kerana ternyata jauh berbeza dari rumah rakit di pinggir sungai yang mereka lihat sebelum ini,” ujarnya.
Jelasnya, rumah rakit beroperasi sejak 2019 itu menawarkan pelbagai kemudahan antaranya sewaan bot dan skuter air untuk aktiviti bersiar menikmati keindahan sekitar Sungai Pahang.
“Bagaimanapun, untuk khidmat bot dan skuter air ini kena tempah awal dan operasinya bergantung kepada keadaan sungai.
“Kami turut menjalankan ternakan ikan sangkar dan pengunjung berpeluang melihat dan memberi makan,” jelasnya.
Menurutnya, selain menikmati terus keindahan Sungai Pahang, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama matahari terbenam sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Selain itu katanya, perniagaan diusahakan keluarga diasaskan ayahnya, Mohd Rasli Yusof, 67, yang juga seorang pesara polis turut menyediakan restoran terapung sebagai tarikan.
“Restoran Terapung Rakit Maraie menyediakan pelbagai menu istimewa menyelerakan.
“Antara menu istimewa ialah patin bakar sambal, tilapia bakar sambal, siakap bakar sambal dan lain-lain masakan tempatan seperti patin masak tempoyak, pais patin tempoyak bakar, bawal goreng kari, keli goreng berlada dan bermacam lagi.“Istimewanya, ikan seperti patin dan tilapia diternak sendiri bagi menjamin kualiti serta kesegarannya,” katanya.
Menurut Mohd Firdaus, menu masakan ikan sungai liar seperti kerai dan sebagainya disediakan sekiranya ada permintaan serta bekalan.
“Restoran terapung ini dibuka pada Rabu hingga Ahad bermula jam 11 pagi hingga 7 petang.
“Bagi mereka yang ingin menikmati hidangan istimewa boleh datang terus atau melalui tempahan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!