Menjejak pakar bom JI
SHAH ALAM - Serangan lelaki bertopeng di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi Jumaat yang dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI), mengimbau kembali ingatan rakyat Malaysia kepada dua watak utama di sebalik kumpulan militan Asia Tenggara itu.
Dua individu tersebut ialah pakar bom, Noordin Mohammad Top dan Demolition Man, Dr Azahari Husin, kedua-duanya berasal dari Johor.
Mereka dikatakan terlibat dalam JI, sebuah organisasi pelampau yang ditubuhkan pada awal 1990-an untuk membentuk ‘negara Islam’ meliputi Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.
JI digerakkan oleh dua rakyat Indonesia iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Basyir yang melarikan diri ke Malaysia pada tahun 1983.
JI terkenal kerana terlibat dalam beberapa serangan besar di rantau ini termasuk pengeboman kelab malam Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa, kebanyakannya pelancong asing.
Mereka juga didakwa terlibat dalam pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 yang membunuh 12 orang, pengeboman Kedutaan Australia pada 2004 yang membunuh 22 orang dan beberapa serangan lain di Indonesia dan Filipina.
Noordin ialah anak kelahiran Kayu Ara Pasong, Pontian, Johor. Dia dikatakan wakil al-Qaeda di Asia Tenggara, yang kemudiannya menjadi salah seorang lelaki paling dikehendaki di rantau ini.
Bekas pensyarah dan akauntan itu juga disyaki menjadi dalang serangan berani mati berkembar di dua hotel di Jakarta. Dia juga menjadi perekrut, pakar strategi dan pembiaya bagi kumpulan JI.
Menurut laporan, Noordin dikatakan telah berpecah daripada kumpulan itu pada 2003 dan menubuhkan Tanzim Qaedat al-Jihad atau Pertubuhan bagi Pangkalan Jihad, di tengah-tengah perbezaan ketara berhubung dasarnya menyasarkan orang awam.
Pasukan keselamatan Indonesia kemudiannya meningkatkan usaha memburunya selepas dia dikenal pasti sebagai suspek utama dalam pengeboman dua hotel di Jakarta pada Julai 2009. Dia terbunuh dua bulan kemudian di bandar Solo, Jawa Tengah.
Dalam gerakannya itu, Noordin turut bekerjasama dengan Azahari, pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Azahari juga dikenali sebagai pembuat bom bagi JI. Dia turut terlibat dengan sebuah sekolah agama di Ulu Tiram yang dipelopori oleh Abu Bakar Basyir dan Abdullah Sungkar.
Noordin dan Azahari melarikan diri ke Indonesia selepas polis Malaysia melancarkan gerakan memburu mereka. Di Indonesia, mereka merekrut anak muda Indonesia untuk melancarkan siri serangan bom yang mereka rancang.
Azahari terbunuh selepas polis Indonesia mengepungnya di Kota Batu, Jawa Timur pada November 2005.
Walaupun Noordin dan Azahari telah tiada, saki-baki pengaruh JI yang ditinggalkan kini dikhuatiri menjadi punca serangan ganas di Balai Polis Ulu Tiram apatah lagi polis menjumpai beberapa bukti berkaitan JI di rumah keluarganya. Apakah JI akan kembali mengganas?
-- INFO
--SH: Apa yang perlu anda tahu tentang Jemaah Islamiyah
- Merupakan gerakan militan dan disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Diasaskan Abu Bakar Basyir dan Abdullah Sungkar yang berasal dari Indonesia.
- Bergiat aktif sejak 1993 hingga kini untuk membentuk ‘negara Islam’ di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina.
- Mempunyai kaitan kewangan dengan Abu Sayyaf dan al-Qaeda.
- Jumlah anggota lebih 5,000 orang.
- Terlibat dalam beberapa serangan besar di rantau ini termasuk pengeboman kelab malam di Bali, Indonesia pada 2002 yang mengorbankan 202 nyawa dan pengeboman Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 yang membunuh 12 orang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!