Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Tujuh individu dibawa ke mahkamah

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tujuh individu yang ditahan pada Jumaat kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berumur lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi Jumaat.

Turut direman dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu dijangka dituntut waris hari ini untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor, Perak manakala Muhamad Syafiq disemadikan di Kuantan, Pahang.

Setakat 7 pagi ini, tinjauan Bernama mendapati suasana di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) lengang dan belum terdapat mana-mana waris mangsa yang hadir.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.

Anggota polis yang cedera akibat ditembak kini dirawat di HSI dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!