Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Beri kepercayaan polis buat siasatan
SHAH ALAM - Semua pihak diminta bertenang dan memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan terperinci berhubung kes serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru yang mengorbankan dua anggotanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian itu perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua orang.
“Jabatan ini sentiasa konsisten menolak sebarang fahaman ekstrem dan melampau.
“Pada masa sama, saya ingin mengajak semua rakyat untuk memperkukuh keamanan negara dengan prinsip kesederhanaan serta berpegang teguh dengan nilai-nilai rahmah dan ihsan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, dilaporkan dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram dalam kejadian 4.41 pagi Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang ditembak mati di lokasi itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan polis telah melakukan serbuan di rumahnya di Ulu Tiram dengan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, beliau mewakili seluruh jabatannya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam kejadian tersebut.
“Saya berasa amat dukacita dengan kejadian serangan yang berlaku.
“Mewakili seluruh warga jabatan ini, takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terlibat dengan kejadian menyedihkan ini.
“Semoga seluruh ahli keluarga bersabar serta dikurnia ketabahan yang tinggi berdepan dengan ujian berat ini,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!