Serangan balai polis: Jenazah dua konstabel dibawa keluar dari HSI

Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor.
Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram tiba di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, IPK Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jenazah dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi Jumaat dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pagi Sabtu.

Kedua-dua jenazah anggota polis itu dibawa keluar pada 9.15 pagi selepas proses bedah siasat selesai malam tadi.

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir.

Jenazah dua anggota itu kemudiannya akan dibawa ke kampung halaman masing-masing iaitu di Bidor, Perak dan Kuantan, Pahang.

Terdahulu, Azhar Khaiden, 54, bapa kepada Ahmad Azza Fahmi kelihatan tiba di Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi menuntut jenazah anaknya pagi ini untuk dibawa pulang ke kampung halaman untuk disemadikan.

"Malam tadi kami sekeluarga tidur di kediaman Allahyarham," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan jabatan itu pada Sabtu.

Guru Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak itu berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor.

Ahmad Azza Fahmi dan Muhamad Syafiq maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam insiden itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!