Serang balai polis: Tujuh direman termasuk warga Singapura

Hidayatul (kiri) hadir di IPD Seri Alam, Johor Bahru pada Sabtu bagi mengeluarkan perintah reman terhadap tujuh suspek bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram.
Hidayatul (kiri) hadir di IPD Seri Alam, Johor Bahru pada Sabtu bagi mengeluarkan perintah reman terhadap tujuh suspek bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Tujuh termasuk seorang warga Singapura direman selama tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes serangan Balai Polis Ulu Tiram di sini pada Jumaat yang mengorbankan dua anggota polis.

Mereka yang direman itu melibatkan lima ahli keluarga suspek termasuk bapanya selain dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dekat sini pada Sabtu.

Beberapa peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang hadir ke IPD akan mewakili semua suspek kecuali warga asing terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek.

Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dekat sini dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek yang tinggal di Kampung Sungai Tiram berusia 21 tahun itu datang ke balai berkenaan dengan motosikal dan membawa parang serta berada di belakang balai berkenaan yang gelap.

Lelaki itu kemudian menetak anggota polis yang datang ke belakang balai sebelum mengambil pistol polis berkenaan dan menembak seorang lagi anggota polis.

Kedua-dua anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian dan suspek kemudian menembak seorang lagi anggota polis di bahu kiri dan pinggul sebelum suspek ditembak mati di tempat kejadian.
Artikel Berkaitan:


Susulan itu, polis menahan tujuh individu berkenaan bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!