Pinjaman tak dapat, wang sendiri lesap
KUANTAN - Dua individu berputih mata apabila masing-masing kerugian lebih RM20,000 selepas menjadi mangsa tawaran pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook.
Mangsa berusia 33 dan 40 tahun itu terjerat perangkap penipuan selepas melayari laman web sebuah syarikat pinjaman melalui pautan yang tertera pada iklan di akaun laman sosial berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pertama berusia 33 tahun berminat dengan tawaran iklan pinjaman itu selepas melayari Facebook awal Januari lalu.
Dia yang berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM500,000 atas nama syarikat menyerahkan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan, penyata akaun bank, pendaftaran syarikat dan laporan audit bagi tujuan semakan kelulusan.
"Mangsa juga diminta membuat bayaran proses bagi tujuan membuka akaun, insurans dan yuran pinjaman dengan jumlah keseluruhan RM27,300.
"Mangsa membuat bayaran itu melalui tiga akaun bank atas nama individu berbeza melalui perbankan internet," katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa diminta membuat bayaran tambahan RM8,500 kerana memasukkan wang ke dalam akaun yang salah, namun dia tidak berbuat demikian sebaliknya mula curiga dengan urusan pinjaman tersebut.
"Mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas wang dipinjam tidak diterima seperti mana dijanjikan," katanya.
Beliau berkata, mangsa kedua berusia 40 tahun juga terpedaya dengan helah sama sehingga kerugian RM21,701.
Menurutnya, mangsa menyerahkan segala dokumen dikehendaki untuk semakan dan proses kelulusan pinjaman berjumlah RM90,000.
"Mangsa membuat bayaran proses dengan jumlah keseluruhan RM21,701 secara berperingkat melalui 11 transaksi bayaran kepada tiga akaun bank juga atas nama individu berbeza.
"Selepas bayaran dibuat, mangsa gagal mendapatkan wang yang dipinjam sehingga laporan polis dibuat semalam," katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya membuka kertas siasatan kedua-dua kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis turut mengesan enam individu yang juga pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!