Kisah banduan pertama di Malaysia jadi tarikan reruai Muzium Penjara
GEORGE TOWN - Sejarah kewujudan penjara moden dan kisah dua banduan pertama di Malaysia antara tarikan di reruai Muzium Penjara Malaysia sempena Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024.
Pegawai Penjara, Sarjan Mejar Ahmad Fesal Noor berkata, pengunjung berpeluang mengetahui mengenai sejarah penjara pertama di negara ini di Fort Cornwallis (Kota Cornwallis) di sini dan melihat sendiri gambar dua banduan pertama yang dibawa dari Bengal, India pada 1790 oleh pihak British.
Beliau berkata, berdasarkan kajian sejarah, penjara pertama di negara ini terkait rapat dengan Sir Francis Light yang membuat penempatan di pulau ini pada 1786 namun kewujudannya hanya dikesan pada 1811 berdasarkan tinggalan penjara dalam Fort Cornwallis.
"Pada Mac 1790, dua lelaki iaitu Eyeno Deen Sheikdan (Ainuddin Sheidan) dan Mohamed Heiant dibawa dari Bengal ke Pulau Pinang oleh pihak British untuk ditahan di penjara itu sebagai tahanan politik, menjadikan mereka dua banduan pertama di Malaysia sekali gus menandakan kewujudan penjara moden di negara ini.
"Mereka digunakan sebagai buruh murah untuk membina infrastruktur dan kegiatan ekonomi. Penjara kedua dibina di Chowrasta Lines tetapi disebabkan kepadatan banduan, penjara baharu dipanggil 'Penang Gold' dibina dan digunakan pada 1849 dan masih kekal sehingga sekarang (dikenali Penjara Reman Pulau Pinang)," katanya ketika ditemui Bernama di Dewan Sri Pinang, di sini, pada Jumaat.
Ahmad Fesal berkata, selain penjara pertama, sejarah Pusat Pemulihan Akhlak Pulau Jerejak yang pernah menempatkan pesakit kusta turut dipaparkan kepada pengunjung HMA 2024.
Beliau berkata, pengunjung turut berpeluang melihat pelbagai peralatan berkaitan penjara termasuk pintu asal sel penjara di era 1870, mangga pintu penjara era 1960 dan batu asal Fort Cornwallis 1786.
Orang ramai juga berkesempatan melihat sendiri keadaan sel penjara melalui satu lubang tinjau di pintu sel itu malah susun atur di reruai turut diolah bagi menggambarkan suasana sebenar di dalam penjara yang suram.
"Pemilihan konsep dan cerita yang ditampilkan bersesuaian dengan tema 'Muzium untuk pendidikan dan penyelidikan' serta lokasi HMA kali ini iaitu Pulau Pinang, jadi kita hendak tonjolkan sejarah penjara Pulau Pinang dan pamerkan peralatan berkaitan untuk tontonan dan ilmu kepada pengunjung.
"Kita mahu beri pendidikan dan gambaran kepada umum bahawa betapa siksanya hidup di dalam penjara yang sempit dengan 23 jam masa dihabiskan di dalam sel dan hanya satu jam pembebasan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai berkunjung ke reruai Muzium Penjara Malaysia untuk mengetahui secara lebih terperinci tentang sejarah dan merasai sendiri pengalaman berada di dalam penjara.
Festival HMA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 13 hingga 22 Mei ini di Dewan Sri Pinang, di sini, menyaksikan penyertaan daripada 38 agensi, institusi dan muzium serta dijangka menarik kunjungan 200,000 pelawat secara fizikal dan dalam talian. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!