Kuskop seru agensi perbankan siap sedia ke arah digitalisasi

Dari kiri; Mohd Irwan, Ramanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman ketika sidang akhbar pada Sabtu.
Dari kiri; Mohd Irwan, Ramanan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman ketika sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyeru semua agensi perbankan untuk bersiap sedia dalam menghadapi cabaran baharu pada masa hadapan terutamanya dalam teknologi pendigitalan.

Timbalan Menterinya, Datuk R Ramanan berkata, tindakan tersebut berupaya menangani setiap kekangan dalam era semasa dan memperkasa operasi bank bagi meningkatkan kecekapan serta memperluas pengalaman pelanggan.

"Kita tengok Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menujukkan minat terhadap teknologi pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI). Jadi, kalau kita tak memajukan diri dengan mengambil peluang ini, kita akan ketinggalan.

"Ini sangat penting untuk kita (Malaysia) menuju ke arah digitalisasi seperti negara-negara maju lain," katanya ketika sidang akhbar di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024.

Tambah beliau, Kuskop sentiasa menyokong inisiatif Bank Rakyat dalam memacu pembangunan sektor keusahawanan serta koperasi negara.

Ramanan (tengah) melakukan gimik bagi Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 pada Sabtu.
Ramanan (tengah) melakukan gimik bagi Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 pada Sabtu.

Katanya, komitmen berterusan agensi berkenaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif keusahawanan yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan juga memberikan impak besar.

"Usaha ini amat sejajar dengan matlamat Kuskop menerusi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) dalam melahirkan usahawan berdaya saing dan kompetitif di pasaran domestik mahu pun global.

Artikel Berkaitan:

"Ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030 khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi," ujarnya.

Dalam pada itu Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak memaklumkan, selaku bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, pihaknya terus konsisten mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Ujarnya, ia dapat dilihat menerusi keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM1.76 bilion dengan kadar dividen sebanyak 15 peratus kepada anggotanya.

"Bank Rakyat juga telah mengumumkan dividen istimewa sebanyak 2 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta yang mana akan dilaksanakan pada September ini sempena sambutan ulang tahun ke-70," jelas beliau.

Mengulas lanjut Mohd Irwan berkata, Bank Rakyat masih lagi mengekalkan prestasi kadar dividen berjumlah dua digit sejak tahun kewangan 1999 sehingga kini iaitu selama 24 tahun.

Menurutnya, kejayaan yang dikecapi Bank Rakyat selama ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada 800,559 anggota dan 2,264 koperasi yang merupakan akar umbi dan teras penting bagi institusi ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!