Polis sentiasa pantau bekas militan, anggota terancang

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilapor memberi jaminan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini masih terkawal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini dilapor memberi jaminan gerakan Jemaah Islamiyah (JI) di negara ini masih terkawal.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tahap keselamatan terkawal dengan pemantauan sentiasa dilakukan ke atas bekas anggota kumpulan terancang atau militan yang pernah ditahan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pangkalan data dan pengalaman menguruskan insiden seperti itu.

"Saya nak yakinkan (masyarakat), polis ada pangkalan data lengkap sejak 217 tahun penubuhan polis. Pangkalan data itu memadai untuk kita uruskan insiden begini (serangan Balai Polis Ulu Tiram).

"PDRM juga sentiasa memastikan proses rehabilitasi golongan itu berjalan sekali gus tidak menjadi ancaman kepada masyarakat.

"Kita ada latar belakang (bekas anggota) yang dulu pernah terbabit dengan kegiatan (militan), ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kemudian dilepaskan. Polis ada pendekatan bagi memantau mereka," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Dalam pada itu, Saifuddin meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berlebihan terhadap insiden yang berlaku di Balai Polis Tiram pada pagi Jumaat.

"Kita jangan (membuat spekulasi) berlebihan. Serangan Balai Polis Ulu Tiram dilakukan suspek bersendirian. Don't go beyond that point (ancaman militan termasuk Jemaah Islamiyah).

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai sama ada siasatan akan diperluaskan kerana dikhuatiri membabitkan rangkaian militan antarabangsa, Saifuddin menjelaskan siasatan membabitkan insiden di Balai Polis Ulu Tiram sahaja.

"Kita tak berhasrat berbuat begitu. Skop siasatan hanya membabitkan insiden berkenaan," ujarnya.

Dalam kejadian pagi Jumaat, dua anggota polis terkorban manakala seorang lagi cedera parah dalam serangan membabitkan suspek lelaki yang menceroboh masuk ke dalam Balai Polis Ulu Tiram, di Johor Bahru.

Pada Jumaat, media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, dipercayai dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang dipercayai berusia 21 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!