MFL perlu buat keputusan segera hukuman terhadap Selangor FC
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta tidak terus berteka-teki mengenai hukuman kepada Selangor FC susulan penarikan diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih baru-baru ini.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, MFL perlu terus menjatuhkan hukuman kepada Selangor dan tidak melengahkannya sehingga saingan masuk pertengahan liga.
Menurutnya, hukuman yang akan dijatuhkan MFL juga masih menjadi tanda tanya dan jika sekiranya pemotongan mata tambahan dikenakan akan memberikan kesan kepada perjalanan Selangor FC dalam saingan liga.
"Seharusnya MFL tidak melengahkan hukuman. Kita tahu Selangor akan ditolak tiga mata selepas tarik diri daripada Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super.
"Namun, hukuman tambahan kita belum tahu apa yang akan dikenakan nanti.
"Jika ada pemotongan mata tambahan sudah tentu ia akan memberikan kesan kepada pasukan bukan sahaja kedudukan dalam liga tetapi juga moral para pemain.
"Sekurang-kurangnya jika hukuman diketahui awal, Selangor akan dapat bersedia dan merangka perancangan teliti," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Sebelum ini, Selangor FC telah membuat permohonan kepada MFL untuk menunda Piala Sumbangsih atas alasan keselamatan susulan insiden Faisal yang disimbah asid selain ugutan diterima oleh beberapa orang pengurusan kelab itu.
Bagaimanapun, MFL menolak permohonan tersebut sekali gus menyebabkan Selangor membuat keputusan untuk menarik diri mengambil kira insiden tersebut selain ancaman yang berlaku melibatkan berapa pemain dan pegawai pasukan itu.
Tindakan Selangor menarik diri itu bakal mengundang hukuman dan badan pengelola liga itu akan membawa isu penarikan diri ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Faizal juga meminta MFL mengadili dengan adil kes penarikan diri Selangor itu dan melihat kepada situasi semasa yang berlaku.
"Saya harap tidak ada 'double standard' dalam menjatuhkan hukuman. Lagipun penarikan diri Selangor kerana keselamatan yang mungkin akan memberikan kesan kepada pasukan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!