Banglo proses burung walet haram diserbu

Sebahagian warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan JIM Melaka di Krubong pada malam Jumaat.
Sebahagian warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan JIM Melaka di Krubong pada malam Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Sebuah banglo yang disewa dengan harga RM2,000 sebulan dan dijadikan lokasi memproses burung walet secara haram di Taman Sutera Emas, Krubong di sini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka pada malam Jumaat.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11.45 malam terdapat 10 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta dua wanita Myanmar berusia di antara 35 hingga 51 tahun sedang leka bekerja.

Menurutnya, aktiviti yang didalangi pasangan suami isteri rakyat tempatan itu dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak tujuh bulan lalu bagi pasaran tempatan selain menjadikan tingkat atas sebagai asrama penginapan pekerja.

"Soal siasat awal yang dilakukan terhadap majikan wanita berusia 42 tahun itu mengaku menjadikan ruang tamu rumah sebagai tempat memproses sarang burung walet.

"Kesemua sarang burung walet yang dirampas dianggarkan bernilai antara RM50,000 hingga RM70,000 berdasarkan harga semasa industri yang memberi pulangan lumayan pada harga sekitar RM3,500 hingga RM4,500 per kilogram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Tambahnya, selain itu pemeriksaan terhadap warga asing juga mendapati lapan lelaki warga Bangladesh dan dua wanita Myanmar telah melakukan beberapa kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) Seksyen (15)(1)(c) akta sama dan telah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk tindakan seterusnya," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut beliau berkata, ketika serbuan terdapat cubaan melarikan diri daripada kesemua orang kena adu (OKA), namun berjaya digagalkan sepasukan 19 pegawai dan anggota JIM yang sudah mengepung premis berkenaan.

"Kita juga telah turut mengeluarkan tiga Borang 29 (Saman Pada Saksi) iaitu kepada majikan, suaminya warga tempatan 39 tahun dan pengawal keselamatan banglo berkenaan berumur 51 tahun," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!