Parlimen Taiwan kecoh, MP pembangkang dan pemerintah bertumbuk
TAIPEI - Sidang Parlimen Taiwan pada Jumaat kecoh selepas ahli dewan itu saling bertumbuk dan bergaduh antara satu sama lain ketika sesi perdebatan hangat.
Ia berpunca daripada cadangan puak pembangkang, Parti Kuomintang (KMT) bersama Parti Rakyat Taiwan (TPP) untuk memberikan kuasa lebih meluas kepada Parlimen bagi mengawasi keputusan pemerintah.
Namun, ia dibantah keras oleh parti pemerintah, Parti Progresif Demokratik (DPP) yang mendakwa tindakan KMT sebagai 'penyalahgunaan kuasa yang tidak berperlembagaan' dan tidak mengikut proses yang sepatutnya.
"DPP tidak mahu cadangan ini diluluskan kerana mereka sentiasa mahu memonopoli kuasa," kata Jessica Chen mewakili KMT.
Rakaman insiden itu yang tular di media sosial memaparkan keadaan huru-hara malah ada ahli Parlimen yang dilihat melompat ke atas meja ketika pergaduhan memalukan tersebut.
Kekecohan tersebut berlaku beberapa hari sebelum pelantikan bakal Presiden, Lai Ching-te yang akan mengambil alih jawatan daripada Tsai Ing-wen pada Isnin ini. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!