Penduduk rimas terpaksa hidup bergelumang dengan lalat

Mooi Lye (dua dari kanan) menunjukkan ribuan lalat mati di kawasan koridor flat berkenaan.
Mooi Lye (dua dari kanan) menunjukkan ribuan lalat mati di kawasan koridor flat berkenaan.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Lebih 20 keluarga yang menghuni di Flat Taman Sintar Indah dekat sini rimas dengan kehadiran ribuan lalat sehingga mengganggu aktiviti serta kehidupan harian mereka.

Masalah lalat yang berlaku sejak setahun lalu dipercayai berpunca dari beberapa ladang ayam daging berhampiran yang didakwa tidak diselenggara dengan baik oleh pengusahanya.

Penduduk, Shahirah Hashim, 25, berkata, walaupun kehadiran lalat boleh dikatakan bermusim, namun kali ini penduduk amat terkesan dan tidak tahan lagi dengan kehadiran kumpulan unggas berkenaan dari pagi hingga ke malam.

Menurutnya, dia terpaksa membelanjakan banyak wang untuk membeli alat membunuh dan perangkap lalat, namun langsung tidak menyelesaikan masalah yang membelenggu keluarganya.

Besi penyidai baju turut dihinggapi lalat .
Besi penyidai baju turut dihinggapi lalat .

"Bayangkan setiap masa lalat berterbangan dalam kawasan rumah, dalam tandas, bilik, dapur dan di luar rumah jangan cakaplah terlalu banyak hinggakan saya nak pergi kerja pun lalat ikut sampai ke dalam kereta.

"Selain rimas, kami juga bimbang kehadiran lalat akan menjejaskan kualiti kesihatan terutamanya kedua ibu bapa yang sudah tua," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Shahirah yang menyewa flat berkenaan sejak Ogos tahun lalu berkata, sekiranya masalah lalat ini terus berlarutan dia dan ibu bapanya merancang untuk berpindah ke tempat lain kerana tidak tahan lagi dengan gangguan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Bagi surirumah, G Sivapakiam, 60, pula berkata, dia akan menggunakan 10 keping perangkap lalat di dalam rumah setiap hari, namun ia seolah tidak memberi kesan.

Jelasnya, paling terganggu ketika dia mahu menyiapkan masakan di dapur kerana lalat suka menghurung ikan atau bahan mentah yang lain.

Sivapakiam menunjukkan perangkap lalat yang digunakan di dalam rumahnya setiap hari.
Sivapakiam menunjukkan perangkap lalat yang digunakan di dalam rumahnya setiap hari.

"Bayangkan setiap kali nak masak atau makan memang susah dapat nikmati hidangan dengan tenang disebabkan lalat.

"Tak payah cakap soal lalat masuk ke dalam masakan dan makanan...Kami harap masalah ini boleh diatasi dengan segera kerana penduduk di sini sudah terlampau rimas," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye berkata, menerusi maklumat dan siasatan dibuat mendapati masalah lalat berkenaan dipercayai berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak sistematik dari tiga ladang dipercayai ternakan ayam yang terletak berhampiran.

Beliau berkata berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengadakan lawatan ke atas ladang ternakan terbabit dan meminta supaya penternak membuat kerja-kerja semburan ubat serangga bagi mengawal lalat membiak sekali gus menghurungi kawasan penempatan penduduk.

Jelasnya, beberapa notis dan kompaun turut dikeluarkan kedua-dua agensi berkenaan kepada pengusaha ladang ayam selain mengesan terdapat satu ladang ayam haram di kawasan berhampiran flat terbabit.

"Lawatan dibuat susulan aduan yang diterima dan didapati masalah ini berlaku pada bulan-bulan tertentu iaitu ketika proses pengeluaran ayam yang mana penternak didapati tidak menguruskan sisa dengan baik.

"Oleh itu, MBSP dan DVS telah meminta kerja-kerja pengawalan dilakukan dengan membuat semburan ubat yang mana kita dapati ia telah dimulakan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!