Nanas hiasan inovasi tanaman landskap baharu

Tze Tzin (empat dari kiri) melihat nanas hiasan ketika pelancaran Landskap Nanas Hiasan di Georgetown semalam.
Tze Tzin (empat dari kiri) melihat nanas hiasan ketika pelancaran Landskap Nanas Hiasan di Georgetown semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memperkenalkan nanas hiasan yang boleh dijadikan tanaman landskap menarik dan boleh ditanam di pelbagai tempat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, nanas hiasan merupakan terma nama tanaman Bromeliad daripada keluarga Bromeliaceae yang terdiri daripada 3,475 spesies.

Menurutnya, nanas hiasan atau nama saintifiknya Ananas Comosus ialah spesies daripada keluarga Bromeliaceae.

“Nanas hiasan ialah spesis pokok dalam keluarga Bromelieceae yang paling popular dan paling banyak ditanam di dunia serta berbuah yang menjadikannya sebagai tanaman komersial.

“Nanas hiasan itu tidak boleh dimakan seperti nanas segar spesis MD2, Josapine, Moris dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan landskap nanas hiasan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bayan Baru di sini bersama Pengerusi LPNM, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Tze Tzin berkata, selain dijadikan tanaman landskap untuk laman, nanas hiasan juga boleh dijadikan dekorasi bagi hiasan meja, hiasan dalaman, cenderamata, majlis perkahwinan, sektor perhotelan dan pelancongan.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi faktor kedudukan geografi di garisan Khatulistiwa iaitu cuaca panas dan lembab sepanjang tahun selain amat sesuai untuk penanaman dan kesuburan nanas hiasan itu.

“Ia membolehkan nanas itu ditanam di luar bangunan menyebabkan kos penanamannya rendah berbanding negara lain.

Artikel Berkaitan:

“Dengan kelebihan yang ada, pengusaha nanas hiasan dijangka mampu meraih pendapatan lumayan kerana harganya yang tinggi setanding dengan orkid serta tumbuhan perhiasan dan bunga yang lain.

“Bagi nanas hiasan dan ornamental, ia dilihat mampu melonjakkan nilai eksport Malaysia sebanyak lima peratus iaitu RM17.6 juta berbanding RM16.78 pada 2018,” katanya.

Tze Tzin berkata, tanaman itu mampu hidup antara satu hingga tiga tahun bergantung kepada spesies pokok menjadikannya ekonomik dari segi pemeliharaan pokok hiasan.

“Sama seperti nanas segar, pokok nanas hiasan yang matang akan menghasilkan bunga dan seterusnya menghasilkan sulur (anak) dalam tempoh tiga ke empat bulan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Malik berkata, LPNM akan sentiasa mengambil langkah pendekatan untuk mempromosikan dan memperkenalkan tanaman hiasan Bromeliad melalui pameran yang akan dilaksanakan.

Katanya, bagi memulakan industri di wilayah utara terutama Pulau Pinang, beliau memohon kerjasama daripada Jabatan Pertanian untuk menggunakan tanah di taman pertanian bagi tujuan penanaman, pembiakan dan perluas tanaman nanas hiasan.

KAPSYEN:

Tze Tzin (empat dari kiri) melihat nanas hiasan ketika pelancaran Landskap Nanas Hiasan di Georgetown semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!