Transformasikan pusat TVET kepada pembuatan, perkilangan

Mohd Azwardi (gambar kecil) berkata, formula ekonomi baharu diperlukan berbanding hanya meneruskan pengurusan ekonomi biasa seperti pelaburan asing. Foto 123RF. Gambar kecil: Mohd Azwardi
Mohd Azwardi (gambar kecil) berkata, formula ekonomi baharu diperlukan berbanding hanya meneruskan pengurusan ekonomi biasa seperti pelaburan asing. Foto 123RF. Gambar kecil: Mohd Azwardi
A
A
A

ALOR SETAR - Ekonomi negara kita memerlukan satu revolusi ekonomi biarpun ia agak pahit untuk diakui.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, formula ekonomi baharu diperlukan berbanding hanya meneruskan pengurusan ekonomi biasa seperti pelaburan asing yang tidak sewajarnya menjadi satu-satunya kaedah kelangsungan negara.

Menurutnya, kerajaan mampu mengubah asas ekonomi negara dengan mentransformasikan pusat latihan sebagai pusat pembuatan dan perkilangan.

“Banyak ‘penyakit’ ekonomi mampu diubati menerusi langkah menjadikan pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai kilang pembuatan dan pengeluaran.

“Antara langkah drastik diperlukan negara ialah melahirkan tenaga kerja mahir tempatan menerusi transformasi tersebut,” katanya di sini pada Sabtu.

Mohd Azwardi yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, negara memiliki sumber manusia dan tenaga teknikal sama seperti Jerman, malangnya tidak dimanfaat sebaiknya.

“Dasar kerajaan sebelum ini banyak memfokus kepada pembelajaran praktikal berbentuk kemahiran namun tenaga berkemahiran ini difokuskan untuk membekalkan tenaga kerja kepada syarikat-syarikat antarabangsa.

“Kita sepatutnya sudah menjadi negara hebat seperti China, Jerman dan Korea Selatan dengan mengeluarkan pelbagai barangan tempatan seperti mesin, peralatan perubatan, mahupun komponen automotif,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, memandangkan komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit semakin lesu di pasaran antarabangsa selain ketidaktentuan harga minyak memberi kesan besar kepada ekonomi negara, perubahan perlu dilakukan segera.

“Negara kita tidak kurang dengan pelbagai sumber bumi atau sumber manusia yang hebat. Mungkin inilah formula ekonomi yang kita perlukan.

“Jadikan pelatih TVET belajar sambil bekerja, berikan ruang mereka mereka bentuk mesin dan pelbagai barangan seperti hiasan rumah, aksesori sukan, katil lipat dan pemanggang udara.

“Saya yakin mereka lebih daripada mampu jika diberikan peluang.

"Golongan ini sepatutnya dijadikan tunjang ekonomi negara,” jelasnya.

Mohd Azwardi berkata, pada masa sama, kembalikan kempen ‘Beli Barangan Malaysia’ dan polisi yang mungkin diperlukan untuk menjayakannya.

“Contohnya, barangan import yang serupa dengan barangan dikeluarkan pusat latihan ini tidak boleh dijual walaupun secara dalam talian.

“Rakyat harus yakin dengan kemampuan anak watan yang mana negara asing turut kagum dengan kebolehan mereka,” katanya.

Menurutnya, transformasi tersebut juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar TVET yang berkemahiran, selain merapatkan jurang pendapatan dalam negara dengan tawaran kerja dan gaji setimpal dengan kemahiran.

“Objektif negara sudah pasti menuju ke arah lebih jelas sebagai negara berinovasi dan maju pada masa hadapan.

“Jika diurus dengan baik, kita berpeluang untuk bersaing dengan negara maju lain seperti China dan Korea Selatan.

"Ini sudah tentu dapat mengukuhkan nilai ringgit dan ekonomi negara apabila Malaysia mula menguasai pasaran antarabangsa dengan produk pelbagai seperti China,” jelasnya.

Mohd Azwardi berkata, struktur ekonomi negara perlukan pembaharuan susulan nilai ringgit semakin menyusut dan ia meresahkan banyak pihak kerana beri kesan secara langsung kepada rakyat.

“Untuk kawal nilai ringgit, Kadar Dasar Semalaman (OPR) terpaksa dinaikkan.

"Kenaikan OPR tentu ada kesannya pada pinjaman bank, jika berterusan ia membebankan rakyat,” katanya.

Menurutnya, beberapa pakar ekonomi merumuskan keadaan ekonomi dan ringgit berkait rapat dengan kadar faedah Amerika Syarikat.

“Ketidaktentuan global seperti perang Rusia dan Ukraine dikatakan antara penyebab ekonomi negara terjejas.

“Kadar mata wang Thailand dan Indonesia semakin baik berbanding Ringgit Malaysia (RM) sedangkan pada suatu ketika, ringgit jauh lebih baik berbanding Singapura, Korea Selatan dan China.

“Rakyat mula resah dengan kebarangkalian ekonomi kita akan lebih merosot berbanding negara jiran.

"Bersandarkan sokongan ekonomi dengan dasar-dasar kerajaan mesra pelabur, negara kita berjaya menarik pelaburan RM329.5 billion pada 2023.

Ia sudah tentu mengimbangi jumlah eksport dan import negara selain melonjakkan permintaan RM,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun katanya, sekiranya angka ekonomi memberangsangkan mengapa kerajaan perlu memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus, selain pelbagai cukai lain.

“Harus diingat, pelabur asing tidak bersikap nasionalisme, mereka akan beralih kepada negara lain jika ‘madu sudah habis’ atau negara lain tawarkan ‘lebih banyak madu’.

“Banyak syarikat multinasional berhijrah dari China ke Vietnam dan negara itu kini menjadi destinasi utama pelabur asing.

"Dengan meniru model ekonomi China, mereka mula mendominasi barangan dalam talian pada harga kompetitif berbanding China.

“Adakah kita akan teruskan model ekonomi yang bergantung pada pelabur asing dan bersandarkan minyak sebagai pemangkin ekonomi?” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!