Ukraine jangka Rusia terus mara
KIEV - “Saya menjangkakan Rusia akan memperhebatkan ofensif mereka di timur laut Kiev.”
Jangkaan itu dibuat Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menerusi wawancara eksklusif bersama AFP pada Jumaat setelah konflik kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet tersebut sudah berlarutan selama lebih dua tahun.
Pasukan tentera Rusia yang hanya membuat kemajuan kecil sejak beberapa bulan lalu bertindak melancarkan serangan mengejut ke atas wilayah Kharkiv pada 10 Mei lalu, sekali gus menjadi kemaraan terbesar buat Moscow yang turut mencetuskan kebimbangan kepada Ukraine dan Barat.
Zelenskyy mengesahkan pasukan musuh tersebut telah mara kira-kira lima hingga 10 kilometer di sepanjang sempadan timur laut sebelum dihalang tentera mereka.
“Wilayah itu berisiko menyaksikan serangan ‘gelombang pertama’ yang lebih meluas. Saya enggan katakan ia sebagai kejayaan buat Rusia tetapi mereka dijangka terus mara,” jelasnya lagi sambil menambah situasi di Kharkiv kini terkawal, namun ‘tidak stabil’.
Pemimpin itu sekali lagi merayu sekutu Barat supaya menghantar bekalan sistem pertahanan udara dan jet pejuang untuk menangkis serangan Rusia selepas peperangan itu kini memasuki tahun ketiga.
“Sistem pertahanan udara kami hanya berbaki 25 peratus untuk melindungi Ukraine,” katanya.
Sementara itu, The New York Times melaporkan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan sejumlah sekutu Washington dalam lingkungan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) merancang untuk menghantar pasukan tentera mereka ke Kiev.
“Ukraine telah meminta bantuan AS dan NATO untuk melatih kira-kira 150,000 anggota rekrut baharu. Kontraktor tentera dari Washington juga sudah tiba di Ukraine untuk memperbaiki sistem senjata yang dibekalkan mereka,” ujar laporan tersebut lagi.
Pada Februari lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah mencadangkan penghantaran tentera NATO yang turut disokong Estonia dan Lithuania.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir 10,000 penduduk di Kharkiv terpaksa berpindah sejak serangan rentas sempadan tersebut. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!