Zii Jia, Angus tentukan juara Terbuka Thailand
[DIKEMAS KINI] PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Terbuka Thailand Super 500 selepas bangkit menewaskan wakil Taiwan, Chou Tien Chen dalam aksi separuh akhir di Stadium Nimibutr, Bangkok pada Sabtu.
Set pertama juara edisi 2022 yang kali pertama mara ke separuh akhir dalam saingan musim ini selepas empat kali tersekat di suku akhir akur tewas 18-21 dalam aksi sengit.
Namun set kedua, pemain ranking ke-10 dunia itu kembali dengan corak permainan lebih kemas mengasak lawan berstatus ke-14 sebelum menang 21-12.
Set penentuan, bekas juara Seluruh England tidak menoleh ke belakang meneruskan momentum positif dengan kemenangan 21-13 dalam aksi 66 minit.
Kemenangan itu membolehkan Zii Jia berdepan dengan pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus dalam perlawanan akhir.
Angus yang berstatus nombor 27 dunia sebelum itu menyingkirkan cabaran juara bertahan Kunlavut Vitidsarn.
Set pertama Angus bermula cemerlang apabila menang 21-14 sebelum Kunlavut yang juga juara dunia bangkit untuk menang, 21-18.
Set ketiga, kedua-dua pemain menampilkan aksi sengit yang menyaksikan mereka saling bertukar mata yang akhirnya dimenangi Angus apabila menjinakkan pemain nombor lapan dunia tersebut, 21-19 dalam masa 78 minit.
Mengenai perlawanan berdepan Tien Chen, Zii Jia berkata: “Ya, satu lagi perlawanan yang sukar berdepan lawan yang berpengalaman.Dan saya gembira dapat melangkah ke pentas final pertama musim ini.
“Saya akan fokus untuk cabaran final esok, saya dan Ng Ka Long Angus, pernah bertemu beberapa kali sebelum ini, kami mengetahui corak permainan masing-masing.
“Saya menjangkakan satu lagi perlawanan yang sukar kerana dia telah pun menyingkirkan cabaran beberapa pemain ternama seperti pilihan pertama, Anders Antonsen sebelum ini.”
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!