Mencari Sasterawan Perak kelima
RAKAN-RAKAN Perak menanya-nanya saya, siapakah yang bakal menjadi sasterawan Perak kelima?
Ada juga menyatakan pandangannya, tiada seorang pun yang layak menjadi sasterawan Perak selepas Baharuddin Kahar Sasterawan keempat.
Bisik-bisik ini timbul selepas tamatnya pencalonan untuk Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-8, yang tutup pencalonannya pada akhir April lalu.
Situasi begini adalah biasa, kerana curiosity, rasa ingin tahu itu adalah sifat naluri manusia. Dan ini bermakna subjek sasterawan ke-5 itu menjadi tanda tanya dan perbincangan umum kepada golongan pengarang Perak khususnya dan masyarakat sastera amnya.
Nama Zabidin Haji Ismail dan Ariff Mohamad disebut-sebut, justeru keduanya pernah memasuki pencalonan Sasterawan Perak ke-4 dahulu.
Para penilai memilih Baharuddin Kahar dan nampaknya tiada suara yang mencabarnya. Sebelum itu, Perak sudah memiliki tiga orang Sasterawan Negerinya iaitu Suhaimi Haji Muhammad (1987), Mana Sikana (2004) dan Malim Ghozali PK (2014).
Ada pandangan yang menyuarakan, sasterawan Perak harus terlebih dahulu memenangi kategori Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat untuk menunjukkan mutu pencapaian kepengarangan seseorang penulis.
Pandangan ini ada logiknya, penilaian juga berdasarkan kepada sumbangan pengarang yang berterusan dan memiliki nilai sastera serta pemikiran yang menyerlah dalam perkembangan sastera.
Dalam konteks begini saya teringat sebuah nama yang mempunyai kekuatan untuk duduk sebagai sasterawan Perak.
Nama ini tersembunyi di sebalik sejarah penulisan sastera. Sama halnya dengan nama Baharuddin Kahar yang tersembunyi sekian lama, menghilang dalam penulisan karya sastera. Kukuh dalam penulisan prosa, cerpen dan novel.
Cerpen Capa Rengat dan Gulai Rawa membawa pertentangan nilai antara tradisi dan moden. Sama dengan novelnya Senjakala pertentangan antara pemburu rusa yang tua renta dengan kehendak anaknya bagi mengubat penyakitnya.
Saya pernah membuat penyelidikan bergeran daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim terhadap penulis-penulis Perak, termasuk mereka yang bermastautin di negeri luar Perak.
Maka saya menemui Baharuddin Kahar di Segamat, melangsungkan kehidupanya sebagai ahli peniaga. Dan di Segamat inilah juga tinggal sebuah nama yang satu masa dahulu sangat tersohor iaitu Abdul Talib Mohd Hassan.
Beliau dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 1947. Pendidikan awalnya di Sekolah Umum Laki-laki Teluk Intan 1954-1957. Kemudian manyambung persekolahannya di Sekolah Rendah Anglo-Chinese di bandar yang sama pada 1958-1960.
Seterusnya pada 1960-1965, beliau meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Horley Methodist, Teluk Intan. Pada 1965-1967, beliau mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Harian, Teluk Intan.
Di samping itu, beliau belajar secara persendirian dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1969. Setelah tamat latihan perguruan, Talib berpindah ke Johor untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Spang Loi, sebuah kawasan pedalaman yang jauh terpencil dari bandar Segamat.
Abdul Talib merupakan pemenang hadiah pertama Sayembara Novel GAPENA pada 1976 dengan novelnya Saga.
Setahun kemudian, Abdul Talib memenangi pula hadiah kedua Sayembara Novel Hari Guru 1977. Kali ini beliau mengajukan novelnya yang berjudul Pelarian, iaitu sebuah kisah kehidupan di bandar besar yang berkisar di sekitar penyalahgunaan dadah, dakyah komunis dan golongan pendakwah.
Kelahiran dua novel Abdul Talib dalam masa yang dekat ini sekali gus memperlihatkan kegigihan dan bakat yang amat menarik dalam penglibatannya sebagai penulis.
Malahan apabila GAPENA menganjurkan Sayembara Novel bagi kali kedua bersama Yayasan Sabah pada 1979, novel Abdul Talib bertajuk Warisan terpilih memenangi hadiah kedua.
Pengiktirafan yang begitu besar terhadap bakatnya dan dalam jangka waktu yang singkat sungguh bererti dalam hidupnya sebagai seorang penulis. Inilah adalah sebuah keistimewaan yang membawa namanya harum dengan tiba-tiba sahaja.
Tidak hairanlah jika novel dihasilkannya selepas itu mendapat pasaran dan sambutan yang baik daripada peminat novel tanah air.
Penulis ini terus berkarya dengan Warisan dan Wajah-wajah di Pelangi (1989) Jelaga, Cinta Semalam dan Primadona (1990) Pelarian, Bebayang Ungu, Mimah, Mega-mega, Sinar di Sebalik Kabus, Destini Kasih dan Ika Airiani (1991) Di Rahang Sumpah (1992) Sutera dalam Lukisan dan Saga Dua (1993) Jerebu (1994) Khailee (1997) Saga Tiga, Kompilasi Destini Kasih dan Kompilasi Sekuntum Bunga Sena (2001) Diari Hati (2005). Begitu prolifik sekali.
Novel Saga menggemparkan, teknik naratif orang ketiga, telah dilanggar oleh pengarangnya.
Ketiga-tiga wataknya iaitu Rahmat, Hisyam dan Munirah berdepan dengan khalayaknya dengan kesemuanya, mengaplikasikan ganti nama orang pertama.
Mekanisme ini membuka citra perwatakan yang dinamis dan gerakan jalur penceritaannya yang segar dan hidup.
Ditambah pula dengan stailnya yang jernih dan subur, serta latarannya yang bervariasi, tepat dan realistik. Dengan cepat ia mempesona dan menawan jiwa khalayak sastera waktu itu dan Saga pantas menjadi popular dan menjadi kebanggaan.
Teks ini selari dengan visi sayembara untuk mendapatkan karya yang membawa gambaran Melayu pascamerdeka.
Saga menyuguhkan pemikiran dan mengisahkan tiga watak utama daripada golongan generasi muda negara yang intelektual. Mereka meninggalkan kemewahan serta kesenangan hidup di bandar.
Tujuannya untuk mencurahkan ilmu, tenaga dan bakti bagi membangunkan masyarakat kampung yang ketinggalan jauh terpencil untuk berkhidmat meninggikan taraf hidup yang keciciran dan terpinggir.
Mereka terjebak dalam pelbagai kancah konflik seperti hasad dengki, khianat dan cabaran-cabaran lainnya, khususnya daripada sebahagian masyarakat kampung yang mencurigai atau memandang serong di atas kejujuran, ketulusan dan kemurnian cita-cita mereka.
Pertentangan nilai menjadikan teks ini menarik dan sesuai dengan akal zamannya. Novel Saga menjadi laris, khalayak dan pengkritik berlomba-lomba memperkatakannya.
Sebagai pengarang Abdul Mutalib Hassan, mendapat pengiktirafan yang besar dalam jangka waktu yang singkat; namanya mengharum dengan tiba-tiba sahaja.
Tidak syak lagi Saga mencipta fenomena, dan berjaya membina salah sebuah kemuncak dalam penovelan tanah air.
Satu lagi bidang penulisan Abdul Talib yang tidak kurang pula pentingnya ialah bidang drama.
Drama televisyen Anjang Aki berasal drama pentas pemenang hadiah ketiga Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1978, mencipta fenomena juga dan kemudiannya menjadi drama pentas Penantian, digunakan sebagai teks drama kertas Kesusasteraan Melayu.
Begitulah sebuah pandangan umum tentang Abdul Talib Mohd Hassan, pengarang yang unggul dan setara dengan Baharuddin Kahar yang saya kira layak untuk dipertimbangkan bagi dinobatkan sebagai sasterawan Perak kelima.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!