Pensyarah menang Proton X70
KLANG - “Memang tidak sangka akan menang. Setiap hari saya berdoa pada ALLAH untuk menang Proton X70, akhirnya termakbul," kata Muhammad Falihin Jasmi, 31, yang memenangi hadiah utama peraduan Better Brown Bonanza anjuran Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).
Pensyarah Fakulti Seni Bina dan Perancangan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu berkata, kemenangannya sangat bermakna kerana pada awalnya beliau nyaris tidak menyertai peraduan itu disebabkan telefon bimbitnya terjatuh dan pecah.
“Ketika itu, saya berbelah bahagi sama ada nak teruskan menyertai peraduan atau tidak. Tarikh akhir hantar penyertaan pula tinggal dua hari saja dan jika saya nak sertai perlu beli telefon bimbit baharu.
“Akhirnya, saya buat keputusan beli saja telefon bimbit baharu dan peruntukkan masa beberapa jam untuk hasilkan gambar swafoto dengan gaya paling kreatif bersama pek gula Better Brown CSR bertemakan 1Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Utama Peraduan Better Brown Bonanza CSR yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif CSR, Datuk Hishammudin Hasan di Econsave Kampung Jawa di sini semalam.
Hadir sama Pengarah Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Lai Sak Coon; Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Wong Yun Fatt, Pengarah Jualan CSR, Henry Ong Ewe Teow dan Pengarah Bahagian Komersial CSR, Ahmad Farid Kamarudin.
Muhammad Falihin berkata, beliau sangat gembira kerana pengorbanan kecil yang dibuat untuk membeli telefon bimbit baharu akhirnya membawa pulangan lumayan.
“Kalau tidak, mungkin saya tak akan menang. Malah, setiap hari saya doa ‘menangkan aku untuk dapat Proton X70 ya ALLAH'.
“Mungkin berkat doa itu juga, ALLAH aturkan rezeki untuk saya menang walaupun di awalnya diberi dugaan kecil,” katanya.
Katanya, ia kemenangan keduanya selepas memenangi sebuah kereta Nissan Almera menerusi peraduan berbeza lima tahun lepas.
Peraduan Better Brown Bonanza CSR berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember 2019 dan dianjurkan bagi memperkenalkan Better Brown iaitu gula rendah glisemik (GI) sebagai pilihan dalam penyediaan makanan dan minuman.
Selain hadiah utama iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 edisi premium, peraduan itu turut menawarkan hadiah mingguan dan bulanan bernilai lebih RM200,000 seperti pakej percutian untuk dua orang ke Bali dan Korea serta baucar penginapan di Meritus Pelangi Hotel di Langkawi.
Sementara itu, Hishammudin berkata, peraduan besar-besaran itu julung kali dianjurkan oleh sebuah syarikat pengilang gula bagi memperkenalkan manfaat gula Better Brown CSR kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya menerima hampir 3,000 penyertaan dan ia merupakan satu angka yang boleh dibanggakan.
"Syarat penyertaannya sangat mudah iaitu hanya perlu membeli dua pek gula Better Brown CSR, swafoto dengan gaya paling kreatif bersama pek gula itu serta sertakan sekali resit sebagai bukti pembelian dan hantar.
"CSR sangat gembira dengan sambutan yang diberikan dan akan mengadakan peraduan sebegini pada masa akan datang dengan menawarkan pelbagai hadiah lebih menarik.
"Kita harap akan terus mendapat sokongan anda menerusi kempen-kempen promosi yang akan datang, selain berharap lebih ramai rakyat Malaysia bertukar dari menggunakan gula putih kepada gula Better Brown dalam penyediaan diet seharian yang lebih sihat," katanya.
Hishammudin berkata, penghasilan gula Better Brown CSR oleh pihaknya merupakan satu kejayaan dalam teknologi makanan hasil inovasi dilakukan sebelum produk itu dilancarkan pada November 2018 untuk pasaran tempatan.
“Gula Better Brown menetapkan penanda aras baru untuk pilihan gula lebih sihat yang mempunyai kiraan kadar indeks GI rendah iaitu di bawah 55, sedap dan boleh didapati pada harga mampu dimiliki semua.
“Penghasilan gula lebih sihat seperti Better Brown adalah seiring dengan matlamat CSR memacu perjalanan transformasi syarikat kami dari sebuah organisasi perdagangan komoditi kepada syarikat berstatus Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) yang dikenali bukan saja di Malaysia tetapi juga persada antarabangsa,” katanya.
Katanya, CSR kini merangka promosi produk gula Better Brown yang bakal dipasarkan ke luar negara antaranya ke Singapura dan negara Timur Tengah pada tahun ini.
“Kita juga sedang menyiapkan kemudahan di kilang CSR di Padang Terap, Kedah bagi memantapkan lagi pengeluaran gula Better Brown bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Setelah siap sepenuhnya, CSR bakal menjadi pengilang pertama di dunia yangmenghasilkan gula rendah glisemik dan mengeluarkan 10,000 tan metrik gula Better Brown sebulan.
“Kami juga akan menjadi pengilang pertama dunia memiliki pengiktirafan VIVE melalui usaha memastikan kelestarian seluruh rangkaian bekalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!