Kami tidak akan lupa hari ini - Alonso
JUARA baharu Jerman, Bayer Leverkusen melabuh kempen liga dengan menang 2-1 ke atas Augsburg di Stadium BayArena pada Sabtu untuk menjadi kelab pertama dalam sejarah Bundesliga melengkapkan musim penuh tanpa kalah.
Leverkusen yang dijanakan Xabi Alonso, bekas pemain tengah Real Madrid dan Liverpool itu ternyata gembira apabila mencipta sejarah bersama kelab itu
Namun Alonso mengingatkan komuniti bola sepak Leverkusen bahawa tumpuan kelab itu akan segera beralih kepada perlawanan akhir Piala Jerman dan Liga Europa.
"Kami semua tidak akan lupa hari ini apabila pemain-pemain benar-benar layak untuk kejuaraan tertinggi bola sepak Jerman. Akhirnya kami tidak tewas. Itu adalah matlamat yang jelas bagi kami. Penyokong boleh meraikan hari ini. Kami menikmatinya sedikit kemudian pulih esok.
"Ia adalah hari yang paling penting untuk komuniti Leverkusen setelah menjadi juara ketika semua meragui keupayaan kelab. Untuk mencapai 90 mata adalah pencapaian sangat istimewa. Rekodnya ialah 91, kami hanya terlepas itu, tetapi untuk kekal tidak tewas cukup luar biasa.
"Pencapaian ini cemerlang bukan sahaja di Jerman tetapi juga di Eropah. Mulai esok kami mempunyai matlamat besar kami seterusnya. Minggu depan adalah unik dengan peluang ini.
"Pasukan kami telah menulis dirinya dalam sejarah Bundesliga. Dalam 20 tahun kami akan melihat ke belakang dan semua boleh berkata: 'Wah, kami berada di sana,'" katanya.
Sebelum itu, Victor Boniface memintas bola daripada penjaga gol Augsburg, Tomas Koubek untuk mendahului pada minit ke-12 sebelum Robert Andrich, menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-27.
Augsburg kemudiannya berjaya mengurangkan defisit dengan Mert Komur meledak jaringan minit ke-62 selepas sejam aksi berlangsung.
INFO
Juara baharu Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen akan berdepan dua perlawanan akhir dalam masa seminggu.
Pertama, Leverkusen akan menentang kelab Divisyen Dua, Kaiserslautern dalam perlawanan akhir Piala Jerman di Olympiastadion Berlin pada 26 Mei.
Kedua, Leverkusen akan ke Stadium Aviva Dublin, Ireland tiga hari kemudian untuk aksi akhir Liga Europa menentang kelab Serie A, Atalanta.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!