Azzmi puas hati aksi Negeri Sembilan

JDT menundukkan Negeri Sembilan FC menerusi jaringan 3-1 dalam Perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers
JDT menundukkan Negeri Sembilan FC menerusi jaringan 3-1 dalam Perlawanan Liga Super Malaysia 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KETUA Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Sabtu walaupun tewas 1-3.

Pujian katanya, harus diberikan kerana skuad Hobin Jang Hobin yang berjaya mengekalkan semangat melawan dengan terus menyerang walaupun ketinggalan 0-2 seawal minit ke-17 permainan.

Menurutnya, kalah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pengalaman berharga yang akan membantu meningkatkan kualiti permainan NSFC pada perlawanan akan datang.

"Risau juga masa JDT dapat dua gol awal, tetapi Alhamdulillah pemain ada mentaliti baik untuk lawan semula dan dapatkan jaringan. Selain itu, kita juga berjaya hasilkan beberapa peluang gol dengan memasuki kawasan berbahaya JDT.

"Jadi saya bangga pemain tidak menyerah kalah dengan mudah. Mereka ada mentaliti menyerang. Kita tahu tidak mudah lawan JDT tetapi kita sudah melakukan persiapan untuk ke sini," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu, pada malam Sabtu.

Dalam perlawanan itu, Bergson Da Silva menjaringkan dua gol dan Jordi Amat menjaringkan satu gol untuk JDT, manakala jaringan tunggal NSFC disempurnakan Hein Htet Aung.

Mengulas lanjut, Azzmi berkata, pihaknya bagaimanapun mengakui terdapat perbezaan kualiti antara pemain skuad NSFC dan juara bertahan Liga Super selama 10 tahun berturut-turut itu.

"Tahniah JDT, kita memang tahu kemampuan mereka dan Alhamdulillah pemain kita dapat adaptasi rentak permainan mereka, cuma kelebihan JDT adalah kualiti pemain, itu yang membezakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya kata Azzmi, mengakui mereka mempunyai beberapa kelemahan dengan kekangan peruntukan yang ada namun berazam memperbaikinya dalam mendapatkan kualiti permainan lebih baik.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio menyifatkan perlawanan menentang NSFC adalah sukar dan mencabar.

Beliau mengganggap anak buahnya masih belum mempamerkan kualiti sebenar selaku juara Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut sejak 2014.

"Ia satu perlawanan sukar, kebiasaannya perlawanan pertama memang sedemikian. Tetapi saya percaya pemain-pemain kami akan dapat meningkatkan lagi kualiti mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Pemain NSFC telah menunjukkan persembahan yang baik, mereka berjaya memaksa pemain kami untuk bersabar dalam mencari peluang-peluang untuk menjaringkan gol.

"Masih banyak yang perlu dilakukan, kita perlu tingkatkan lagi kualiti serangan termasuk hantaran silang selain aspek pertahanan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!