Lebuh raya Gopeng-Kuala Kangsar dijangka bermula Jun
IPOH - Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar dijangka akan memulakan operasi pembinaannya pada bulan Jun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, draf akhir perjanjian konsesi bagi pembinaan lebuh raya dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, sejurus ia dipersetujui, projek melibatkan jajaran sejauh 60 kilometer tersebut boleh terus dimulakan pada tahun ini.
"Saya mengikuti dengan rapat dan mereka dimaklumkan projek dalam fasa akhir untuk menyemak draf perjanjian di antara syarikat konsesi dengan kerajaan persekutuan yang sekarang berada di Pejabat Peguam negara.
"Jadi apabila ia dipersetujui, mereka akan tandatangan perjanjian konsesi (CA). Apabila CA sudah ditandatangani, maka syarikat akan menjalankan projek berkenaan.
"Saya yakin tahun ini, bulan Jun atau bulan Julai mereka akan mula bekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Masjid Perak Berhad (Komas) Kali ke-27 di Dewan Tun Abdul Razak, Persekutuan Seruan Islam Perak di sini pada Ahad.
Pada 14 Disember tahun lalu, Saarani memaklumkan kerajaan Persekutuan meluluskan cadangan pembinaan WISE selepas beliau dimaklumkan ia dipersetujui mesyuarat Kabinet dua hari sebelumnya, dengan projek dibangunkan syarikat konsesi menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Lebuh raya WISE sepanjang 60 kilometer diunjur, bakal dilengkapi tiga lorong dua hala dengan laluannya bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar, seterusnya Kuala Kangsar.
Selain itu, lebuh raya berkenaan juga akan menjadi sebagai alternatif kepada laluan Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Dalam perkembangan lain, Saarani turut mengesahkan bahawa sebuah syarikat yang menghasilkan produk daripada unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dari Korea Selatan sudah meninjau beberapa lokasi sesuai bagi membina kilang bagi pembuatan magnet untuk kenderaan elektrik (EV) di negeri ini.
Menurutnya, kehadiran syarikat tersebut ke Perak merupakan susulan lawatan kerja delegasi kerajaan negeri ke Korea Selatan baru-baru ini.
"Mereka datang. kita dah bawa tunjuk kepada mereka bongkah NR-REE di Bandariang, Gerik dan mereka sudah melihatnya serta mengesahkan mineral tersebut.
"Mereka pergi beberapa tempat yang kita cadangkan termasuk di Kamunting, Taiping; Bandariang, Gerik dan Silver Valley Technology Park, Chemor. Kita suruh mereka pilih mana tempat yang sesuai untuk bina kilang bagi buat magnet itu," katanya.
Saarani berkata, reaksi mereka juga sangat positif dan kerajaan negeri yakin syarikat berkenaan akan membuat pelaburan di Perak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!