Pulau Pinang tak perlukan pembenihan awan

Kapasiti efektif Empangan Air Itam masih berada paras 62 peratus.
Kapasiti efektif Empangan Air Itam masih berada paras 62 peratus.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang tidak akan menjalankan pembenihan awan buat waktu ini berikutan paras air di Empangan Air Itam masih melebihi paras 60 peratus.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hanya akan mengambil langkah tersebut sekiranya kapasiti efektif di empangan utama tersebut mencecah paras 30 peratus.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya akan berbincang semula tentang pelaksanaan mekanisme tersebut sekiranya tiada hujan sehingga Mac ini.

"Semua berpandu kepada nasihat PBAPP yang mana kita akan kaji sekiranya kapasiti efektif Empangan Air Itam turun sehingga 30 peratus, maka kita akan pertimbangkan untuk melaksanakan pembenihan awan.

"Buat masa ini, Pulau Pinang tidak memerlukan pembenihan awan. Belum masanya lagi, namun jika sehingga Mac ini masih tiada hujan, mungkin pada waktu itu kita akan laksanakan (pembenihan awan). Namun selalunya musim hujan adalah pada Mac atau April," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai proses pembenihan awan di Kedah yang akan dilaksanakan berikutan musim kemarau.

Terdahulu, Kon Yeow bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo melancarkan Majlis Pecah Tanah Kondominium Grace Harmony di Jelutong di sini.

Kon Yeow (lima dari kanan) melancarkan Majlis Pecah Tanah Kondominium Grace Harmony di Jelutong hari ini.
Kon Yeow (lima dari kanan) melancarkan Majlis Pecah Tanah Kondominium Grace Harmony di Jelutong hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Pengerusi PBAPP berkata, pihaknya juga tidak akan melancarkan catuan air walaupun kapasiti efektif dua empangan di negeri ini jauh lebih rendah daripada biasa.

"Sekiranya kapasiti efektif di Empangan Air Itam dan Teluk Bahang semakin jatuh selain masih tidak hujan, kemungkinan kita akan lancarkan beberapa mekanisme tetapi bukan catuan air.

"Oleh itu, saya mohon kepada semua penduduk Pulau Pinang supaya berjimat cermat menggunakan air dalam kehidupan seharian pada waktu ini. Kita memerlukan kerjasama dan sokongan pengguna untuk memastikan tiada catuan air di Pulau Pinang ketika musim kemarau ini," katanya.

Sebelum ini, PBAPP dalam kenyataannya mengesahkan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Teluk Bahang jauh lebih rendah daripada biasa disebabkan oleh jumlah hujan yang rendah tahun lalu.

Sehingga 14 Januari lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 62 peratus manakala Empangan Teluk Bahang adalah 39.5 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!