Bayer Leverkusen ketiga terhebat abad ini
[DIKEMAS KINI] KEJAYAAN juara Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen mengekalkan rekod tanpa kalah musim 2023/24 membolehkan Die Schwarzroten berada kelas tersendiri dalam kalangan lima liga utama teratas Eropah abad ini.
Pencapaian melabuh tirai saingan 2023/24 di BayArena dengan menang 2-1 ke atas Augsburg menyaksikan pasukan dibimbing Xabi Alonso itu merekodkan 28 menang, enam seri, sifar tewas selepas kelab berusia 119 tahun berkenaan mengharungi 34 perlawanan.
Prestasi dipamerkan Bayer Leverkusen meletakkan Die Schwarzroten sebaris gergasi Liga Perdana Inggeris England, Arsenal dan jagoan Serie A Itali, Juventus sebelum ini.
Juventus dikemudikan Antonio Conte dikuasakan Alessandro Del Piero pada musim 2011/12 merekodkan - 23 menang, 15 seri, sifar tewas selepas mengharungi 38 perlawanan
Sementara Arsenal asuhan Arsene Wenger dijanakan kepimpinan padang Patrick Vieira mencatatkan - 26 menang, 12 seri, sifar tewas selepas mengharungi 38 perlawanan musim 2003/04.
Alonso percaya musim luar biasa Bayer Leverkusen yang dijelmakan Granit Xhaka bersama pemain lain akan diuji garis masa selepas menjadi pasukan pertama dalam sejarah Bundesliga melengkapkan musim penuh tanpa kalah perlawanan.
"Akhirnya, kami tidak tewas. Itu matlamat yang jelas. Selepas aksi menentang (SV Werder) Bremen (menang 5-0 pada 14 April lalu), kami tahu bahawa pasukan ini boleh mencapai perkara yang hebat lagi. Dan saya amat bangga apabila mereka membuktikannya di padang," kata Alonso yang juga menamatkan penguasaan 11 musim berturut-turut Bayern Munich sejak 2012/13.
Sebagai rekod pencapaian musim ini juga menyaksikan Leverkusen kini menjadi kelab pertama selain Bayern Munich yang memenangi Bundesliga sejak Borussia Dortmund menjulang kejuaraan pada 2011/12.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!