20 terbunuh, puluhan cedera dalam serangan udara Israel di Gaza
GAZA - Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dan beberapa yang lain cedera pada Sabtu malam dalam serangan udara ganas Israel yang menyasarkan sebuah kompleks kediaman di utara kem pelarian Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza.
Agensi berita Palestin (WAFA) memetik sumber tempatan dan kesihatan melaporkan bahawa pasukan perubatan kecemasan dan kru pertahanan awam telah mengeluarkan sekurang-kurangnya 20 mayat pada masa laporan dari bawah runtuhan rumah yang disasarkan di Nuseirat.
Selain itu, sejumlah besar individu yang cedera, termasuk kanak-kanak, telah diselamatkan daripada serpihan. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan untuk mengesan mangsa yang masih terperangkap di bawah bangunan yang runtuh, tambahnya.
Serangan udara Israel, yang digambarkan sebagai antara paling dahsyat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, telah meningkatkan krisis kemanusiaan di Gaza, yang penduduk awam terus menjadi mangsa serangan genosid Israel.
Serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas telah mengakibatkan 35,386 kematian rakyat Palestin yang direkodkan setakat ini, dengan tambahan 79,366 individu mengalami kecederaan, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. - Bernama-WAFA
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!