Lelaki OKU didakwa lakukan amang seksual terhadap remaja
KOTA BHARU - Seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kebolehupayaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja Mac lalu.
Pengakuan itu dibuat Mohd Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Nik Habri Muhamad.
Menurut pertuduhan, Mohd Hafiz melakukan kesalahan itu dalam sebuah masjid di Kampung Langgar kira-kira jam 2.30 petang, 15 Mac lalu.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.
Peguambela tertuduh, Ahmad Farhan Abdul Halim merayu mahkamah memberi ikat jamin terhadap tertuduh berikutan keadaan kesihatannya dan beri jaminan bahawa kerjasama penuh akan diberikan dalam tempoh perbicaraan.
"Tertuduh merupakan pemegang kad OKU ketidakupayaan, senang dipergunakan oleh orang lain dan lurus bendul.
"Tertuduh juga seorang penghidap kencing manis kronik dan memerlukan rawatan tiga kali seminggu selain memerlukan suntikan testosteron," katanya.
Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah dan memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana mengambil kira usia mangsa dan masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Jumlah yang dicadangkan pihak pendakwaan ialah RM20,000 dan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin selepas mengambil kira keadaan tertuduh dengan mengarahkan tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Siti Edabayu Subhan dan mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!