'Semua orang berada di belakang Selangor FC'
PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil percaya sokongan tidak berbelah bahagi diterima skuad Gergasi Merah itu selepas kejadian menyedihkan menimpa Faisal Halim yang menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.
Menurutnya, insiden itu masih menghantui setiap pemain dan pengurusan pasukan, namun mereka cuba untuk mengatasinya selain kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Sabtu sebagai hadiah bermakna buat Faisal.
"Semua orang berada di belakang pasukan terutama pemain selepas insiden tersebut berlaku. Bukan mudah untuk melihat dan melalui tragedi seperti ini. Pemain agak terkesan pada mulanya, tetapi pengurusan serta staf kejurulatihan sentiasa di belakang mereka.
"Saya sangat gembira kerana keluarga besar (Selangor FC) yang menyokong satu sama lain serta kita cuba keluar daripada zon kesedihan ini.
"Insiden ini buatkan kita sedar tentang pentingnya semua orang dalam pasukan dan menyokong antara satu sama lain. Sebagai satu keluarga besar, Selangor FC akan sentiasa bersama Faisal kerana dia sentiasa akan berada di belakang kami ketika di atas padang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, pemain gantian Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menjaringkan gol tunggal yang juga gol kemenangan Selangor untuk memastikan tiga mata buat skuad Merah Kuning itu.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Nidzam mengakui pasukannya tidak beraksi baik terutama pada separuh masa pertama.
"Persembahan pada separuh masa pertama dan kedua sangat berbeza. Tetapi reaksi pemain pada separuh masa kedua sangat penting.
"Secara taktikal, saya hanya minta pemain tengah untuk kerap berada di poket kerana kita terlalu ramai di belakang. Namun, perubahan dilakukan itu berhasil dengan jaringan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!