Keputusan seri lebih adil buat Kedah - Nafuzi
PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui sedikit kecewa selepas tewas kepada Selangor FC 0-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.
Menurutnya, keputusan seri adalah lebih adil berbanding kekalahan berdasarkan persembahan baik yang dipamerkan para pemainnya.
"Tahniah kepada Selangor meraih kemenangan. Secara keseluruhan, bagi pandangan saya, seri adalah keputusan yang adil.
"Tetapi, rezeki memihak kepada Selangor yang menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan, sebaliknya kita ada peluang tetapi tidak jaringkan gol.
"Dari segi persembahan, saya berbangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kesemua pemain terutama peluang yang dicipta. Kita perlu berbangga walaupun kita tewas," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Gol yang dijaringkan oleh pemain gantian Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau pada minit ke-85 sudah memadai untuk skuad Gergasi Merah meraih tiga mata berharga di laman sendiri.
Dalam pada itu, Nafuzi telah mengenal pasti kepincangan utama skuad kendaliannya itu yang dilihat agak tumpul di bahagian serangan.
Bagaimanapun, beliau percaya masih ada masa untuk pasukannya memperbaiki ketumpulan tersebut menjelang perlawanan seterusnya menentang Perak FC pada Jumaat ini.
"Sudah tentu kita akan menambah baik beberapa bahagian kerana kita perlu meraih keputusan positif untuk perlawanan seterusnya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!