Tengku Permaisuri Selangor sempurnakan Program MySeragam

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan membuat gimik pelancaran program tersebut.
Tengku Permaisuri Norashikin berkenan membuat gimik pelancaran program tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir ke Program Prihatin Kembali Ke Sekolah (Program MySeragam) anjuran Yayasan MyPrihatin hari ini.

Menerusi program berkenaan, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyampaikan sumbangan berupa dua pasang kelengkapan baju sekolah kepada 2,000 pelajar daripada lima buah sekolah rendah di seluruh Selangor.

Hadir sama ke program berkenaan, Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Profesor Datuk Dr Halimaton Hamdan dan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sewaktu berucap, Halimaton berkata, menerusi program ini, Yayasan MyPrihatin membuat tempahan pakaian seragam sekolah tersebut melalui peserta Program Jana Ekonomi Prihatin (Projek Prihatin) yang bertujuan bagi membantu golongan ibu tunggal dan suri rumah kurang berkemampuan.

"Pada peringkat permulaan, seramai 25 orang peserta telah dipilih untuk menyertai Projek Prihatin yang berlangsung selama setahun bermula Mac tahun lalu.

"Manakala 30 peserta telah mula mengikuti program ini bermula pada Februari tahun ini," katanya.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memakaikan pakaian sekolah kepada salah seorang penerima.
Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memakaikan pakaian sekolah kepada salah seorang penerima.

Mengulas lanjut, Halimaton berkata, buat masa ini, pihaknya menyediakan dua Pusat Latihan Projek Prihatin bertempat di Bandar Baru Bangi, Selangor dan Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pusat latihan ini adalah bagi melatih peserta dan seterusnya memacu pengeluaran produk-produk jahitan, tekstil dan fesyen.

"Program seumpama ini mencerminkan komitmen, kerjasama serta keprihatinan badan-badan amal dan syarikat korporat dalam membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat di negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!