Lagi insiden ceroboh balai, serang anggota polis
GEORGE TOWN - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menyerang anggota polis di Balai Polis Dato' Keramat, George Town pada Ahad.
Kejadian dikatakan berlaku jam 4.45 pagi tadi apabila lelaki tempatan berumur 35 tahun menunggang motosikal memasuki balai polis itu dan secara tiba-tiba menyerang anggota sentri yang sedang bertugas.
Sumber berkata, semasa kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol. Suspek dilaporkan cedera sewaktu anggota polis cuba menahannya dan dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP)
"Suspek berjaya ditangkap namun mengalami kecederaan kecil semasa proses tangkapan dibuat dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, keadaan suspek stabil," kata sumber itu.
Difahamkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat.- Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!