Meaooow Fun Run IKIMfm 2024 beri ruang kucing lari bersama tuan
SHAH ALAM - Program Meaooow Fun Run IKIMfm 2024 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)fm diadakan bagi memberi peluang kepada pencinta kucing meluangkan masa dan berlari bersama haiwan peliharaan mereka.
Pengurus Hubungan Strategik IKIMfm, Fairuz Noordin berkata, pihaknya menerima lebih 400 penyertaan dan sebanyak 20 peratus daripada jumlah tersebut membawa kucing mereka untuk lari bersama-sama.
Menurutnya, konsep lari bersama kucing ini dipilih kerana meraikan sunnah Rasulullah SAW yang mana haiwan peliharaan itu adalah binatang kesayangan baginda.
"Alhamdulillah, hari ini ramai yang datang, tidak kira kaum mahupun peringkat umur untuk sama-sama melakukan aktiviti riadah bersama kucing masing-masing. Acara yang ditawarkan ada dua kumpulan iaitu larian lima kilometer (km) dan 10km.
"Pelbagai ragam ada, kita sebagai peminat kucing seronok lihat cara mereka layan dan jaga haiwan peliharaan seperti anak sendiri, semua keperluannya lengkap seperti beg, makanan dan sebagainya," ujarnya.
Bagi Nazir Masjid Bandar Bukit Raja, Md Nazri Mohamed Nor, program sebegitu sangat bagus dalam usaha mendidik masyarakat terutamanya kanak-kanak mendekati masjid.
"Masjid sebenarnya bukan sahaja tempat untuk beribadat dan majlis ilmu agama tetapi dengan kemudahan yang ada pelbagai program riadah dapat dijalankan.
"Contohnya hari ini ramai keluarga bawa anak-anak datang ke masjid, bukan Islam pun ada datang sertai program larian," jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Tomkraf, Nurul Husna Azmi berkata, produk makanan kucing buatan Malaysia, Tomkraf melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja hadiah bagi pemenang acara Meaooow Fun Run IKIMfm 2024.
Jelasnya, tajaan itu diadakan bagi meraikan peminat kucing di samping memperkenalkan produk baharu keluaran Kumpulan Karangkraf yang merupakan 100 peratus buatan Malaysia.
"Kami berhasrat menaja hadiah kepada pemenang program hari ini kerana percaya bahawa pencinta kucing hanya akan memilih produk makanan yang terbaik untuk haiwan peliharaan mereka.
"Jadi, produk kami ini khas buat mereka yang ingin mendapatkan makanan bernutrisi optimum kepada si bulus kesayangan pada harga berpatutan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana memberi peluang kepada kami untuk sama-sama menjayakan program hari ini," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!