Zii Jia antara rakan pencetus semangat untuk terus berjuang - Jin Wei
PENGIKUT media sosial pemain badminton perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei mungkin menyedari keakrabannya dengan rakan senegara Lee Zii Jia, Soh Wooi Yik dan Lai Pei Jing.
Mereka bukan sekadar kerap menghabiskan masa bersama-sama malah sokongan yang diberikan rakannya itu memainkan peranan penting dalam membantu memastikan Jin Wei sentiasa bermotivasi sama ada di dalam mahupun di luar gelanggang.
Walaupun belum merangkul sebarang gelaran Jelajah Dunia, bekas juara remaja dunia dua kali itu berkata, rakannya sentiasa memberi inspirasi untuk tabah mengharungi detik sukar.
"Saya sungguh bangga jika rakan saya dapat mencatat keputusan yang baik. Seperti Zii Jia dia pun pernah melalui saat sukar tetapi kini dia mampu bangkit semula. Banyak pengajaran yang saya dapat dan sangat bangga dengan mereka bertiga.
"Saya percaya masih ada harapan untuk menang. Saya enggan memikirkan tentang kekalahan dan berputus asa kerana pemikiran seperti itu tidak sepatutnya ada pada semua atlet,” katanya kepada pemberita selepas sesi ujian gelanggang untuk kejohanan Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, di sini pada Ahad.
Zii Jia mengukuhkan status sebagai perseorangan lelaki terbaik negara apabila merangkul gelaran All England 2021 di Birmingham manakala pemain beregu lelaki, Wooi Yik yang berpasangan dengan Aaron Chia melakar sejarah rakyat Malaysia yang pertama memenangi kejuaraan dunia pada edisi 2022 di Jepun.
Pemain beregu campuran Pei Jing pula memenangi satu kejuaraan Jelajah Dunia bersama Tan Kian Meng pada Terbuka Korea 2022 dan muncul naib juara Terbuka Singapura 2019.
Jin Wei yang muncul naib juara Terbuka Vietnam 2022 dilihat masih belum mempamerkan aksinya yang terbaik sejak menjalani pembedahan kolektomi pada 2019.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia lazimnya tidak mengendahkan komen negatif netizen sebaliknya menjadikan komen-komen positif sebagai motivasi untuk terus mengekalkan semangat juangnya.
Anak kelahiran Pulau Pinang yang akan membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, Malaysia Masters yang bermula pada 21 hingga 26 Mei menjadi platform untuknya membuat persediaan menghadapi temasya sukan terbesar dunia itu.
Ini kerana sejumlah besar pemain yang menyertai acara Super 500 itu akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik akan datang.
Jin Wei yang berada di ranking ke-32 dunia bakal bertemu pemenang peringkat kelayakan pada pusingan pembukaan Malaysia Masters 2024.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pula bakal dicabar pemain ranking ke-33 dunia Lei Lan Xi dari China.
Pemain berusia 24 tahun itu yang pernah tewas di tangan Lan Xi mahu memastikan prestasinya di tahap terbaik selepas mempamerkan aksi kurang memberangsangkan ketika Terbuka Thailand 2024 di Bangkok.
Jun Hao yang juga pemain ke-37 dunia kandas pada pusingan kedua kepada pemain tuan rumah dan juara dunia Kunlavut Vitidsarn. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!