17 lagi kes baharu wabak misteri dicatat
BEIJING - China mengesahkan 17 kes baharu yang dikaitkan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) hari ini termasuk tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Keadaan tersebut sekali gus mencetuskan kebimbangan menjelang cuti Tahun Baru Cina yang bakal disambut hujung minggu depan memandangkan ratusan juta penduduk akan bergerak ke seluruh negara.
Menurut pihak berkuasa, kesemua 17 pesakit yang dijangkiti berusia antara 30 hingga 79 tahun.
"Setakat ini, misteri pneumonia atau radang paru-paru di Wuhan telah menjangkiti 62 orang dengan lapan daripadanya berada dalam keadaan kritikal, 19 orang telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala yang selebihnya dikuarantin kerana sedang menerima rawatan," katanya.
Virus korona baharu itu juga telah mengorbankan dua orang termasuk seorang lelaki berusia 69 tahun yang meninggal dunia Rabu lalu akibat kegagalan buah pinggang dan beberapa organ lain.
Meskipun tiada pengumuman rasmi mengenai langkah pemantauan di negara itu, namun Timbalan Datuk Bandar Wuhan, Chen Xiexin berkata, termometer inframerah telah dipasang di lapangan terbang, stesen kereta api dan stesen bas di seluruh negara.
"Penumpang yang mengalami demam didaftarkan, diberi topeng muka dan dibawa ke institusi perubatan dengan hampir 300,000 ujian suhu badan telah dijalankan," katanya seperti dilaporkan penyiar berita CCTV. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!