Anggota MALBATT meninggal dunia di Lubnan

Faridah Abd Rahman yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia, awal pagi semalam. Foto ihsan ATM
Faridah Abd Rahman yang bertugas bagi misi Pasukan Pengaman Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), di Lubnan meninggal dunia, awal pagi semalam. Foto ihsan ATM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, semalam (7.25 pagi waktu Malaysia).

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Allahyarhamah yang berumur 36 tahun bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.

Menurut kenyataan itu, Allahyarhamah yang berasal dari Pendang, Kedah itu baru kembali bertugas setelah bercuti di Malaysia.

"Jenazah Allahyarhamah akan dihantar ke Hospital Hammoud, Saida di Lubnan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Proses bedah siasat akan dilaksanakan hari ini iaitu jam 3.30 petang waktu Malaysia,” menurut kenyataan.

Allahyarhamah mula berkhidmat dalam ATM pada 2007 dan ditugaskan di dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum diatur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL, menurut kenyataan itu.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki berusia antara empat hingga 10 tahun.

"Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang berperanan menyelaraskan semua keperluan operasi dan misi ATM di luar negara termasuk atur gerak MALBATT 850-11 bagi Misi UNIFIL akan menguruskan proses penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” menurut kenyataan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!