Malaysia sedia bantu Uzbekistan jadi pusat pengajian berkaitan hadis
SAMARKAND - Malaysia sedia membantu Uzbekistan dalam usaha negara itu menjadi pusat pengajian berkaitan agama Islam, terutama yang melibatkan hadis, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Uzbekistan merupakan antara negara di rantau Asia Tengah yang mempunyai potensi tinggi dan sejarah istimewa kerana di sinilah terletaknya pusat pembangunan berkaitan ahli hadis seperti Imam Bukhari, Imam Tirmidzi dan beberapa ulama besar lain yang tentunya akan menarik minat umat Islam.
"Bila Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev mahu menjadikan (Uzbekistan) sebagai pusat ilmu pengajian hadis dan latihan....tentunya ia akan mengundang kepakaran kita.
"...sebab itu saya minta Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar) dan Ketua Pengarah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya melihat bagaimana boleh kita manfaatkan kekuatan mereka dan di samping itu dapat juga lihat (bagaimana) mereka boleh menimba pengalaman dari Malaysia,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan beliau di Uzbekistan di sini pada Ahad.
Dalam kunjungan beliau ke beberapa tempat berkaitan sejarah Islam di negara ini termasuk kunjungan ke Makam Imam Bukhari (Imam Bukhari Mausoleum), Anwar berkata, beliau dapat melihat sumbangan negara itu yang sangat gemilang dalam pengajian hadis.
Beliau berkata, ia memberikan gambaran kesungguhan mengenai Kerajaan Uzbekistan sekarang, yang setelah sekian lama negara itu dikuasai pemimpin seperti Raja Tsar Rusia dan kemudian rejim komunis Soviet Union.
"Setelah sekian lama, mereka kini bebas dan kembali untuk mengikat sejarah gemilang sejarah mereka sendiri,” katanya.
Uzbekistan merupakan sebahagian daripada Soviet Union sejak 1924 sebelum mengisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1991.
Perdana Menteri berkata, Uzbekistan juga mempunyai pendirian yang sama dalam soal keamanan dan pelbagai isu membabitkan umat Islam.
"(Malaysia dan Uzbekistan juga) bincang soal Afghanistan, bincang soal Gaza. Pendekatan mereka sama dan mereka menyokong kuat pendirian Malaysia menyuarakan hasrat bukan saja untuk umat Islam, tapi juga soal kedamaian dan keadilan,” katanya.
Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum ini Perdana Menteri telah melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan.
Anwar tiba di Tashkent pada Jumaat untuk lawatan tiga hari di Uzbekistan, dan pada hari pertama lawatan di ibu kota Uzbekistan itu, Anwar yang tiba dari Kazakhstan telah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.
Pada hari kedua, beliau dan delegasi melawat Kompleks Imam Hazrati di Tashkent, yang menyimpan manuskrip asal Al-Quran Khalifah Uthman (Mashaf Uthmani), yang tertua di dunia.
Kompleks Imam Hazrati merupakan pusat keagamaan Tashkent yang menempatkan beberapa masjid yang telah dipulihara dengan baik, muzium madrasah dan tempat-tempat ziarah lain. Ia adalah monumen seni bina sejak abad ke-16 hingga ke-20 dan kompleks ini mempunyai perpustakaan manuskrip timur yang sangat kaya.
Pada hari kedua juga beliau ke Samarkand, kira-kira 300 kilometer dari Tashkent, dan melawat Kompleks Imam Bukhari yang didirikan di sekeliling Makam Imam Bukhari, sebelum menziarahi Kompleks Laluan Sutera Samarkand yang antara lain menempatkan Kota Abadi, kawasan yang dibina mengikut seni bina kota purba.
Anwar dan delegasi Malaysia turut dibawa ke Kompleks Shah-i-Zinda yang antara lain menempatkan makam Kusam ibn Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW yang juga antara pendakwah terawal membawa ajaran Islam ke Uzbekistan.
Beliau turut menziarah Makam Amir Temur, pemerintah agung Empayar Timurid yang mencetus pembaharuan kearah pembinaan negara kukuh serta berpusat, dan mengangkat ilmu pengetahuan serta kebudayaan.
Perdana Menteri kemudiannya ke Registan Square yang menempatkan Ulugbek Madrasah, antara masjid terkemuka dunia dan pernah menjadi pusat pengajian saintifik terbesar di Samarkand.
Sebelum mengakhiri lawatan beliau di negara ini Ahad, Perdana Menteri berlepas ke Bukhara dan melawat Naqshbandi Sufi Complex, melihat antaranya makam Baha-ud-Din Naqshband Bukhari, pengasas tarekat Naqshbandi yang meninggal dunia 1389.
Beliau kemudiannya melawat The Ark of Bukhara, kota besar yang asalnya dibina dan diduduki sekitar abad ke-5 Masihi, dan Kalon Minaret Complex. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!