Tiada sejarah sakit, suami terkejut Sarjan Faridah meninggal di Lubnan
ALOR SETAR - Suami kepada Sarjan Faridah Abd Rahman, 38, terkejut apabila dimaklumkan isterinya itu meninggal dunia di Lubnan.
Noor Azmi Ariffin, 39, berkata, ini kerana mereka sekeluarga baharu sahaja menghantar arwah isterinya itu yang juga Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk kembali bertugas di Lubnan.
"Isteri saya sebelum ini pulang bercuti di kampung kira-kira sebulan.
"Pada Jumaat baru ini kami sekeluarga termasuk anak-anak hantar dia ke KLIA sebab cuti dia dah tamat.
"Semasa perjalanan pulang ke Kedah, saya ada singgah di rumah abang dulu.
"Belum pun sempat tiba di kampung, saya dapat berita daripada Panglima bahawa isteri meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Menurutnya, isterinya yang sudah 18 tahun berkhidmat dalam ketenteraan tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit dan kelihatan sihat sahaja ketika pulang bercuti baru-baru ini.
"Dia memang tak ada sakit apa sebelum ini, kalau ikut peraturan pun hanya anggota dan pegawai yang sihat akan dihantar bertugas di Lubnan sebab itu kami pun terkejut bila dapat berita dia meninggal," katanya.
Jelasnya, ketika ini jenazah isterinya masih berada di Lubnan dan akan dibawa pulang ke kampung di Sungai Mati Tobiar setelah selesai urusan bedah siasat.
"Setakat ini saya cuma tunggu maklumat dari kem sahaja dan ikut perancangan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Tualang, Pokok Sena," katanya.
Allahyarhamah Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah.
Allahyarhamah disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).
Allahyarhamah meninggalkan empat orang cahaya mata berusia antara empat hingga 13 tahun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!